PETALING JAYA – Kerajaan belum bercadang menetapkan satu kadar harga lantai tetap bagi setiap perjalanan rider (penghantar) namun perniagaan platform e-hailing dan p-hailing boleh mengambil langkah menyelaras bersama pekerjanya.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pihak penyediaan platform perlu menyelerasakan harga lantai upah yang tetap dan berpatutan dengan pekerja.
Menurut Ramanan, kerajaan mengambil pendekatan seimbang dalam melindungi kebajikan pekerja gig tanpa menekan majikan secara berlebihan.
“Memang popular untuk hanya lihat kepentingan pekerja, tetapi kerajaan mesti ada keseimbangan. Kalau kita terlalu menekan majikan, akhirnya mereka tidak mampu beri pekerjaan dan pekerja akan hilang sumber pendapatan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan ke Kampus Rakan Grab Malaysia, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerajaan tetap menggunakan dasar gaji minimum sebagai penanda aras perlindungan pendapatan.
“Pendapatan minimum telah diselaraskan pada RM1,700. Itu dasar kerajaan. Tetapi pengendalian kadar bayaran rider (penghantar) berada di bawah platform masing-masing selagi mematuhi akta dan undang-undang sedia ada,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ramanan berkata Akta Pekerja Gig dijangka dikuatkuasakan sepenuhnya selewat-lewatnya hujung Mac 2026, termasuk penubuhan majlis perundingan dan tribunal khas.
“Akta ini memberi jaminan penting kepada pekerja gig termasuk pembayaran dalam tempoh tujuh hari serta perlindungan jika berlaku kemalangan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan juga akan meneruskan libat urus bersama pemain industri dan pekerja walaupun selepas akta berkenaan dikuatkuasakan.
“Ada perkara yang hanya dapat dilihat selepas akta ini diguna pakai. Sebab itu libat urus dengan pihak berkepentingan akan dibuat secara berterusan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan tidak menolak untuk meneliti semula mekanisme kawal selia termasuk isu pendapatan dan struktur bayaran sekiranya timbul kelemahan selepas pelaksanaan akta tersebut.
“Tiada undang-undang yang sempurna 100 peratus. Jika ada isu walaupun kecil, kerajaan akan perhalusi dan buat penambahbaikan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Presiden Malaysia E-Hailing & Delivery Organization (MEDO), Masrizal Mahidin berkata, penilaian terhadap kadar bayaran semasa amat subjektif kerana setiap platform p-hailing menggunakan algoritma tersendiri tanpa sebarang piawaian atau kawal selia khusus daripada kerajaan.
Menurutnya, ketiadaan ketelusan algoritma serta garis panduan kadar minimum menyebabkan sukar untuk menentukan sama ada bayaran yang diterima rider benar-benar munasabah.
“Selagi tiada mekanisme kawal selia, ketelusan algoritma dan kadar minimum yang adil diperkenalkan, isu kadar bayaran ini akan terus menjadi rungutan berpanjangan dalam kalangan rider,” katanya. – KOSMO! ONLINE














