fbpx
Gambar Hiasan

MyPR, kewarganegaraan bukan diberi sewenang-wenangnya – JPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada individu bertaraf bukan warganegara merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak ditawarkan dan diberikan sewenang-wenangnya.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan hari ini menegaskan setiap permohonan kewarganegraan yang diterima diproses dan diteliti dengan sewajarnya berdasarkan peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 dengan mengambil kira kepentingan nasional serta keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia
ada.

“Pada masa ini, kawalan prosedur utama bagi permohonan MyPR adalah berpandukan kepada Permit Masuk sah yang diperolehi oleh pemohon daripada
Jabatan Imigresen (JIM).

“Pertimbangan dan kelulusan Permit Masuk adalah sepenuhnya tertakluk kepada kriteria dan penilaian yang ditetapkan oleh JIM,” katanya.

Tambah JPN, semakan silang secara bersepadu antara JPN dan JIM dilaksanakan bagi mengesahkan bahawa Permit Masuk yang dikemukakan adalah tulen, sah dan dikeluarkan kepada individu yang benar-benar layak.

“Selain itu, keputusan permohonan adalah tertakluk kepada Panel Jawatankuasa Pertimbangan Kelulusan yang dijalankan secara berkala dan setiap permohonan akan diperhalusi dengan teliti bagi memastikan kesahihan dan kelayakan pemohon.

“Walaupun begitu, status dan kad pengenalan MyPR boleh ditarik balik sekiranya pemegangnya didapati terlibat dalam apa-apa kesalahan yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman awam atau kepentingan negara,” katanya.

MyPR adalah kad dikeluarkan JPN kepada individu bukan warganegara yang diberikan status pemastautin tetap di Malaysia, membolehkan mereka menetap dan bekerja secara sah di negara ini selepas diberikan status pemastautin tetap melalui Permit Masuk oleh JIM.

Sehingga 31 Disember 2025, seramai 261,156 pemegang MyPR direkodkan di seluruh negara.

Sebelum ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu pemberian taraf Pemastautin Tetap (PR) kepada warga asing dan kewarganegaraan yang melibatkan kepentingan kedaulatan negara, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

JPN berkata, pihaknya dan KDN akan sentiasa peka dan menjalankan proses yang sebaik-baiknya berkenaan perkara ini kerana setiap pemohonan akan diteliti mengikut giliran yang sewajarnya sebelum keputusan dikeluarkan.

Jelasnya, pertimbangan yang teliti perlu dilaksanakan bagi memastikan taraf kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu yang benar-benar layak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kepentingan negara dan warganegara sedia ada.

“JPN sentiasa komited dalam memastikan setiap permohonan sebagai Pemastautin Tetap dan kewarganegaraan Malaysia diproses secara telus, teratur
dan berpandukan kepada peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.

“Titah nasihat serta keprihatinan Sultan Pahang terhadap isu-isu ini amat dihargai oleh warga KDN dan JPN. Warga KDN serta JPN akan terus memikul tanggungjawab dan tugas dengan baik dan penuh integriti seperti dititahkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI