PETALING JAYA – Lane hogger atau pengguna yang gemar memonopoli lorong jalan raya boleh dikenakan saman sehingga RM2,000 kerana menyumbang kepada kesesakan trafik pada waktu puncak atau musim perayaan.
Denda itu wajar kerana pengguna yang bersikap pembuli jalanan itu boleh menyebabkan pemandu lain berasa tertekan dan takut ketika mengendalikan kenderaan.
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya Serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri berkata, masalah itu semakin membimbangkan di Malaysia.

Katanya, sikap itu dikategorikan sebagai buli jalanan yang boleh menyebabkan kesesakan trafik menjadi lebih agresif sehingga membawa kepada situasi berbahaya seperti kemalangan.
“Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia mendapati perbuatan lane hogging sering berpunca daripada kurangnya kesedaran pengguna tentang fungsi lorong.
“Di Malaysia boleh didenda sehingga RM2,000 dan di Indonesia pesalah boleh dihukum penjara hingga setahun dan denda,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.
Menurut Jamil Manan, oleh itu pihaknya mencadangkan supaya pemantauan dilakukan pihak berkuasa menerusi kamera pengawasan bagi membawa kepada tindakan penguatkuasaan.
Tambahnya, PPKJR juga mencadangkan supaya kerajaan, melalui pemegang konsesi lebuh raya atau Kementerian Kerja Raya memperbanyakkan peringatan papan tanda had kelajuan minima di lebuh raya, khususnya di lorong kanan dan tengah.
“Ketika ini tiada papan tanda yang melarang pemanduan di bawah kelajuan minimum, walaupun pemanduan terlalu perlahan, khususnya di bawah 90 kilometer sejam (km/j), boleh membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Jelasnya, papan tanda khas perlu diwujudkan bagi mengingatkan pengguna agar tidak memandu terlalu perlahan, dengan menetapkan kelajuan minimum 90 km/j, terutamanya di lorong kanan dan tengah.














