KUALA LUMPUR – Perak mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Hoki 5s Kebangsaan Bawah 21 Tahun 2026 sebagai naib juara Kumpulan B selepas mengikat Kelantan 6-6 dalam aksi sengit di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Perlawanan berintensiti tinggi itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan sejak suku pertama, namun Perak tetap memperlihatkan semangat juang tinggi meskipun berdepan kekangan pemain akibat kecederaan.
Ketua jurulatih Perak, Muhammad Fahmi Khalid mengakui situasi tersebut memaksa pasukannya menukar pendekatan permainan.
“Permainan memang agak tegang dan kami pula tak cukup pemain. Seorang cedera semasa perlawanan dan seorang lagi sudah cedera sebelum aksi bermula, jadi penggiliran memang sangat terhad,” katanya.
Menurut Fahmi, kekurangan itu menyebabkan Perak lebih berhati-hati dan banyak memberi tumpuan kepada disiplin bertahan.
“Disebabkan itu, kami banyak bermain secara bertahan, tunggu peluang dan manfaatkan kesilapan lawan. Alhamdulillah, kami dapat keputusan seri yang melayakkan kami ke separuh akhir,” jelasnya.
Keputusan tersebut menyaksikan Perak menamatkan saingan kumpulan dengan kutipan mata mencukupi untuk berada dalam kelompok dua terbaik, sekali gus mengesahkan tiket ke separuh akhir.
Perak dijadualkan menentang Kuala Lumpur dalam aksi separuh akhir esok pada jam 8 pagi, dengan tiket ke perlawanan akhir menjadi taruhan.
Mengulas sasaran pasukan, Fahmi menegaskan kemaraan ke pentas final menjadi objektif utama skuadnya dalam edisi sulung kejohanan itu.
“Kami letakkan sasaran secara berperingkat. Kami sudah lepasi peringkat kumpulan, sasaran seterusnya adalah separuh akhir dan selepas itu kami mahu memburu tempat ke final,” katanya.
Jurulatih itu turut memaklumkan skuad Perak kali ini majoritinya dibarisi muka baharu selepas kebanyakan tonggak lama telah melepasi had umur kejohanan. – KOSMO! ONLINE














