fbpx
ABDUL MUHAIMIN (tengah) mendedahkan sindiket sering mengubah modus operandi seludup PATI masuk ke negara ini.

Ringgit kukuh, PATI ‘berlumba’ masuk Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kadar pertuka­ran ringgit yang semakin tinggi berbanding rupiah mendorong ramai pendatang ­asing tanpa izin (PATI) negara berkenaan cuba masuk ke negara walaupun dikenakan bayaran yang tinggi.

Setakat pukul 5 petang semalam, kadar tukaran AS$1 bersamaan RM4 manakala kadar tukaran sejuta rupiah adalah RM238.

Walaupun dikenakan sehingga RM2,500 seorang berbanding hanya RM1,000 hingga RM1,500 sebelum ini, permintaan tetap tinggi mengakibatkan sindiket perlu mengubah modus operandi untuk mengelak dikesan.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, terbaharu, sindiket dikesan menggunakan bot nelayan berbanding bot laju untuk menceroboh ke perairan Malaysia.

Katanya, taktik itu dipercayai untuk mengabui mata pihak berkuasa Malaysia.

Abdul Muhaimin berkata, permintaan berterusan yang tinggi daripada majikan di negara ini turut menyumbang kepada aktiviti rentas sempadan.

“Ada majikan yang sanggup mengambil risiko berbanding menggaji pekerja asing berdaftar yang tertakluk dengan gaji minimum. Jadi, kedua-dua faktor ini memikat PATI menjadikan Malaysia destinasi utama mereka.

“Pada masa sama, sindiket penyeludupan juga mengambil ke­sempatan meraih untung,” kata­nya kepada Kosmo! baru-baru ini.

SEBAHAGIAN PATI yang ditahan dalam operasi APMM mengekang pencerobohan di Kuala Selangor baru-baru ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket bertindak licik apabila turut menggunakan bot sistem barter yang sah, namun diubah suai untuk membawa migran bagi mengaburi pihak berkuasa.

Tambahnya, mereka juga me­lakukan pemindahan di tengah laut dari bot besar ke bot nelayan sebelum memasuki perairan ­Malaysia.

“Kebiasaannya sindiket bertolak dari Dumai dan Tanjung Balai, Indonesia.Bagi memastikan operasi lancar, sindiket mengupah nelayan atau penduduk setempat sebanyak RM400 sebagai tonto laut atau ‘mata-mata’ untuk melaporkan kedudukan aset APMM,” jelasnya.

Ujar Abdul Muhaimin, terdapat tiga sindiket besar dikategorikan sebagai berisiko tinggi ke­rana mempunyai rangkaian ejen yang luas di darat dan laut. Kumpulan itu aktif membawa masuk migran dalam kuantiti besar dan aktivit tersebut berpotensi mendatangkan bahaya kepada anggota APMM dan orang awam.

“Penyeludup kini lebih agresif dan sanggup meredah ombak besar semasa Monsun Timur Laut.

Mereka menggunakan bot fiber berkelajuan tinggi untuk mengelak dikesan. Malah, dalam beberapa insiden, penyeludup menyerang anggota penguat kuasa dengan senjata tajam atau cuba melanggar bot pihak berkuasa apabila dipintas,” tegasnya.

Abdul Muhaimin berkata, transaksi dibuat secara tunai, manakala ejen di luar negara menerima bayaran melalui aplikasi dalam talian.

Beliau berkata, pihaknya berjaya memintas sebuah bot di Tanjong Karang pada September 2025 yang membawa 33 PATI dan seorang tekong tempatan.

Dalam dua minggu ini, pihak­nya menahan 55 PATI Indonesia yang menggunakan bot nelayan tempatan dan asing di Sungai Besar, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Turut ditahan tujuh warga Indonesia yang bertindak sebagai tekong dan awak-awak berusia 22 hingga 70 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN