PETALING JAYA – Peruntukan tambahan RM100 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Kementerian Pendidikan baru-baru ini adalah untuk menaik taraf bilik guru di sekolah seluruh negara.
Memaklumkan perkara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keutamaan peruntukan itu adalah kepada penyediaaan perabot asas, infrastruktur sokongan dan kemudahan kerja yang selamat serta selesa.
Inisiatif itu juga katanya, sebagai pelaburan strategik bagi memperkukuh profesionalisme dan meningkatkan mutu pendidikan negara.
“Ruang kerja yang selesa dan kondusif dapat meningkatkan motivasi, kreativiti dan profesionalisme serta memperkukuh produktiviti guru,”katanya di laman Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, dengan adanya inisiatif itu, ia dapat meningkatkan semangat dan keterujaan golongan pendidik.
Selain itu katanya, ia memastikan martabat guru diangkat dan kesejahteraan mereka dipelihara.-KOSMO! ONLINE














