SHAH ALAM – Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM145,000 antara 2024 hingga tahun lalu.
Pendakwaan terbaharu itu menjadikan keseluruhan hasil aktiviti haram yang diterima mencecah RM2.26 juta termasuk empat pertuduhan yang dihadapi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.
Muhammad Hafizuddeain, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Tertuduh didakwa menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM145,000 yang dimasukkan dalam akaun bank miliknya di cawangan bank di Ampang Point antara 19 September 2024 dan 19 Mei 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan tertuduh dibenarkan jaminan sama seperti di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
Pendakwaan turut memohon kes dipindahkan untuk dibicarakan secara bersama dengan empat pertuduhan di mahkamah itu. Peguam Aizul Rohan Anuar tidak membantah. Mahkamah membenarkan cadangan pihak pendakwaan termasuk syarat tambahan yang diputuskan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Kosmo! semalam melaporkan Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima hasil aktiviti haram lebih RM2 juta di hadapan di hadapan Hakim Azura Alwi. – KOSMO! ONLINE














