JOHOR BAHRU – Projek menaik taraf Lebuh Raya Senai–Desaru (SDE) daripada dua lorong kepada empat lorong akan ditambah empat kilometer (km) lagi membabitkan kos tambahan sebanyak RM117 juta.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek tambahan itu melibatkan projek fasa kedua bermula dari Cahaya Baru ke Jambatan Sungai Johor.
Menurutnya, projek itu merupakan tambahan kepada pembinaan dari dua lorong kepada empat lorong di laluan ini bermula dari Jambatan Sungai Johor (KM 49.3) hingga Sungai Semenchu (KM 58.7) yang melibatkan jajaran sepanjang 9.34 km.
“Projek ini menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan dengan kemajuan fizikal sebenar telah mencapai 53.19 peratus siap iaitu 0.02 peratus lebih awal dari jadual dengan kos kontrak berjumlah RM128.5 juta, dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2027.
“Untuk projek tambahan empat kilometer ini, kerajaan juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM117 juta dan boleh digunakan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) RP-1 ke-2 tahun 2026.
“Projek akan bermula selepas fasa pertama Projek Menaiktaraf SDE fasa perama siap,”katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian Tanjakan (Jejambat) dan Keluar Masuk Bestari Perdana, Pasir Gudang di sini hari ini.
Sementara itu, Alexander mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran tol bagi Plaza Tol Bestari Perdana bermula hari ini sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Beliau bagaimanapun berkata, kadar tol di Plaza Tol Bestari Perdana belum diputuskan. – KOSMO! ONLINE














