fbpx
DASAR kerajaan Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan menarik bagi pengeluar EV serta bateri pegun. GAMBAR HIASAN

Malaysia tunjuk momentum positif dalam ekosistem bateri dan kenderaan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia secara aktif telah memposisikan dirinya sebagai hab serantau bagi pembuatan bateri, kitar semula bateri dan penerimaan kenderaan elektrik (EV) secara menyeluruh, dengan China muncul sebagai sumber utama bateri litium-ion negara.

Dasar-dasar kerajaan Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan menarik bagi pengeluar EV serta bateri pegun. 

Pelbagai pengecualian cukai telah diberikan kepada pemain industri dan pengguna, di samping pelaburan besar dalam pembangunan infrastruktur pengecasan dan pemodenan grid elektrik. 

Usaha ini turut memudahkan kerjasama dengan sektor swasta dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D). 

Selain itu, inisiatif inovatif seperti Piawaian Pasport Bateri EV, projek pertama seumpamanya di ASEAN yang mewajibkan ketelusan penuh sepanjang kitar hayat bateri, berpotensi merangsang pertumbuhan lanjut dalam penggunaan bateri di Malaysia. 

Pasaran ini kini diunjurkan berkembang pada kadar sekitar 5 peratus setahun sehingga 2032.

Pengeluar bateri dari China merupakan antara pelabur paling aktif dalam ekosistem kenderaan elektrik dan penyimpanan tenaga Malaysia. 

Pelaburan ini merangkumi pelaburan langsung, usaha sama pembangunan perniagaan serta perjanjian rantaian bekalan. 

Bagi syarikat China yang berhasrat untuk beroperasi di luar negara, usaha pengumpulan modal banyak dijalankan melalui Bursa Saham Hong Kong (HKEX), yang pada tahun 2025 mencatatkan kedudukan nombor satu di dunia dari segi jumlah modal yang berjaya dikumpulkan. 

Pembaharuan terkini di HKEX untuk meliberalisasikan peraturan penyenaraian awam permulaan (IPO) telah menggalakkan lebih banyak syarikat menggunakan bursa tersebut bagi mendapatkan modal untuk menembusi pasaran antarabangsa. 

Laporan pada tahun 2025 menunjukkan bahawa separuh daripada permohonan IPO baharu di HKEX terdiri daripada syarikat teknologi.

Walaupun pelonggaran syarat kelayakan penyenaraian IPO di HKEX berjaya menarik lebih banyak syarikat, ia juga membuka ruang kepada syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan tidak stabil dan sedang berdepan masalah kewangan untuk cuba disenaraikan. 

Sebagai contoh, syarikat China, Hithium Energy Storage Co., telah memohon penyenaraian di HKEX walaupun berdepan cabaran kewangan, isu kebolehan membayar hutang serta beberapa tindakan undang-undang berkaitan dakwaan pelanggaran hak harta intelek pesaing. 

Walaupun peraturan penyenaraian di HKEX lebih longgar, permohonan A1 syarikat tersebut telah luput pada tahun 2025, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan pelabur mengenai kejayaan permohonan IPO baharu Hithium pada masa hadapan.

Namun begitu, kerajaan dan entiti sektor swasta berkaitan terus mengambil pendekatan proaktif dengan menggunakan HKEX untuk mengenal pasti syarikat yang berpotensi tinggi, termasuk memperoleh status sebagai pelabur awal melalui bursa tersebut. 

Sektor pusat data Malaysia yang sedang berkembang pesat merupakan antara industri yang berpotensi mendapat manfaat daripada pembangunan infrastruktur bateri pegun negara, dengan menarik syarikat asing untuk membuka cawangan atau membangunkan projek bersama rakan tempatan.

Pengawal selia HKEX kini dilihat semakin berhati-hati dalam menilai syarikat yang dibenarkan untuk disenaraikan. 

Walaupun bursa tersebut terus mencatatkan pelbagai rekod baharu dari segi volum dagangan dan nilai gabungan penyenaraian yang disasarkan menjelang 2026.

Pertumbuhan berterusan ini hanya dapat dikekalkan melalui proses usaha wajar (due diligence) yang lebih menyeluruh sebelum penawaran awam, bagi memastikan hanya syarikat yang mempunyai asas kewangan kukuh dibenarkan mengakses pasaran modal tersebut.

Keupayaan Malaysia untuk menyelaraskan aspirasi tenaga bersihnya dengan pasaran modal global seperti HKEX akan menjadi faktor penting dalam mengekalkan pertumbuhan sektor EV dan bateri pegun. 

Dengan kepentingan penyimpanan tenaga bateri yang semakin meningkat dalam meningkatkan daya tahan grid elektrik, integrasi tenaga boleh diperbaharui dan menyokong industri berasaskan data.

Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat melalui kerjasama terpilih dengan syarikat yang kukuh dari segi kewangan, berdaya saing dari segi teknologi dan mempunyai aspirasi pengembangan serantau.

Walaupun penelitian pasaran kekal penting, gabungan sokongan dasar, pembangunan infrastruktur dan akses kepada modal antarabangsa berpotensi meletakkan Malaysia sebagai pemain yang lebih berpengaruh dalam ekosistem tenaga alternatif global pada tahun-tahun akan datang.- KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI