fbpx
USAHA pendigitalan yang diterajui CIDB memberi kesan langsung terhadap penerimaan dan minat golongan belia dalam sektor pembinaan.

Integrasi teknologi digital dalam TVET Pembinaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini, pendigitalan sektor pembinaan merupakan agenda penting dalam usaha mentransformasikan industri ke arah yang lebih produktif, selamat dan mampan.

Dalam landskap pembinaan yang semakin kompleks serta berintensifkan teknologi, keupayaan tenaga kerja untuk menyesuaikan diri dengan perubahan digital menjadi faktor kritikal kepada daya saing industri.

Menyedari hakikat ini, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memainkan peranan strategik sebagai peneraju Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pembinaan serta pemacu utama agenda digitalisasi dalam sektor pembinaan negara.

Pengurus Besar Kanan, Sektor Pendaftaran & Akreditasi CIDB, Suhaimi Mansor berkata, melalui pelaksanaan program TVET Pembinaan, CIDB secara konsisten memperkukuh pembangunan modal insan dengan menekankan integrasi teknologi digital dalam latihan dan penilaian kompetensi.

Menurutnya, program ini dilaksanakan melalui rangkaian pusat latihan dan penilaian bertauliah CIDB di seluruh negara dengan kurikulum yang sentiasa dikemas kini bagi memastikan ia sejajar dengan keperluan industri, piawaian keselamatan serta perkembangan teknologi semasa.

“Pendekatan digitalisasi yang diterajui CIDB merangkumi pembangunan infrastruktur pembelajaran digital secara menyeluruh.

“Ini termasuk penyediaan modul pembelajaran digital, penggunaan teknologi simulasi serta pengaplikasian teknologi canggih seperti Augmented Reality (AR), realiti maya (VR), simulator jentera dan penggunaan dron bagi latihan tred-tred berimpak tinggi,” katanya.

Tambahnya, usaha ini bertujuan memastikan proses pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja lebih interaktif dan realistik, malah mampu mengurangkan risiko keselamatan serta meningkatkan tahap kefahaman pelatih sebelum terlibat secara langsung di tapak bina.

Digitalisasi latihan TVET Pembinaan oleh CIDB memberi penekanan khusus kepada tred-tred kritikal seperti pengendalian kren menara, kren bergerak serta pengoperasian jentera berat.

Melalui penggunaan simulator berteknologi tinggi, pelatih dapat menjalani latihan awal dalam persekitaran maya yang terkawal, sekali gus membolehkan mereka memahami operasi, prosedur keselamatan dan senario risiko sebenar tanpa terdedah kepada bahaya fizikal.

Suhaimi berkata, sebagai contoh, Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah dilengkapi dengan simulator bagi latihan kren menara, membolehkan pelatih menjalani latihan awal dalam persekitaran maya yang selamat dan terkawal sebelum beralih ke latihan praktikal sebenar.

Terangnya, usaha pendigitalan yang diterajui CIDB turut memberi kesan langsung terhadap penerimaan dan minat golongan belia untuk menceburi kerjaya dalam sektor pembinaan.

PENGGUNAAN simulator berteknologi tinggi membolehkan pelatih menjalani latihan awal dalam persekitaran maya yang terkawal.

“Peningkatan penyertaan belia dalam kursus berkaitan kren dan jentera berat mencerminkan perubahan persepsi bahawa industri pembinaan bukan lagi bersifat manual semata-mata, sebaliknya berkembang sebagai sektor berteknologi tinggi yang menawarkan laluan kerjaya berstruktur, selamat dan berpendapatan kompetitif.

“Melalui latihan berasaskan teknologi, belia menjadi lebih yakin untuk menceburi bidang yang sebelum ini dianggap berisiko dan mencabar,” jelasnya.

Selain aspek latihan, CIDB turut memastikan elemen digitalisasi disepadukan dengan sistem pensijilan dan pengiktirafan kompetensi.

Peserta yang berjaya menamatkan latihan dan lulus penilaian akan dianugerahkan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) sebagai bukti tahap kecekapan mengikut standard industri.

Pensijilan ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah menyokong agenda profesionalisasi industri pembinaan secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, secara strategiknya, digitalisasi yang diterajui CIDB bukan sekadar tertumpu kepada penggunaan teknologi semasa tetapi merupakan persediaan jangka panjang untuk menghadapi cabaran industri pembinaan masa hadapan.

“Dengan mengintegrasikan teknologi digital dalam keseluruhan ekosistem TVET Pembinaan, CIDB membina asas yang kukuh bagi melahirkan tenaga kerja yang adaptif, inovatif dan berkeupayaan menyokong transformasi industri ke arah pembinaan pintar dan mampan.

“Kesimpulannya, peranan CIDB dalam digitalisasi sektor pembinaan mencerminkan komitmen berterusan agensi ini untuk memimpin perubahan, bukan sekadar bertindak balas terhadap tuntutan industri,” ujarnya.

Tambahnya, melalui penerapan teknologi dalam latihan, pensijilan dan pembangunan modal insan, CIDB terus memperkukuh ekosistem TVET Pembinaan sebagai pemacu utama transformasi industri pembinaan negara, selaras dengan aspirasi nasional ke arah ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN