KUALA LUMPUR – Kerajaan optimis rundingan Kod Tatalaku atau Code of Conduct (CoC) di Laut China Selatan dapat dimuktamadkan pada tahun ini.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, proses rundingan tersebut kini berada pada tahap yang amat baik hasil perbincangan berterusan antara anggota ASEAN dan China.
Beliau berkata, CoC merupakan kesinambungan kepada Dokumen Tatalaku (DoC) yang sedia ada bagi memastikan kestabilan dan keselamatan di kawasan perairan strategik tersebut.
“Kalau boleh kita muktamadkan segera, kerana banyak dah perkara-perkara yang dibincangkan di dalam dokumen Code of Conduct ini telahpun mendapat persetujuan banyak pihak.
“Tapi satu saya nak ingatkan di sini, CoC ini bukan merupakan instrumen yang menyelesaikan pertindihan kawasan tetapi, ini adalah suatu kerangka di mana Laut China Selatan ini mestilah menjadi sebagai satu laut yang bebas, laut yang boleh digunakan oleh semua pihak, laut perdagangan dan laut yang sentiasa selamat untuk digunakan oleh semua pihak,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berkenaan perkembangan terkini proses rundingan CoC di Laut China Selatan serta peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam usaha memuktamadkannya.
Mohamad berkata, terdapat tiga teras yang ditekankan dalam rundingan tersebut iaitu ‘the principle and objective’, tata laku semasa kita berada di Laut China Selatan.
“Yang kedua, terdapat juga isu mengenai ‘confidence-building measures’ untuk kita pastikan supaya pihak antarabangsa, semua pihak yakin bahawa Laut China Selatan ini sebagai satu kawasan yang aman, yang bebas, yang boleh dilalui oleh semua pihak.
“Jadi yang ketiganya, antara komponen utama ialah berkenaan dengan isu ‘self-restraint’ supaya kita tidak melakukan apa-apa yang boleh menyebabkan berlakunya ketegangan di kawasan Laut China Selatan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














