KUALA LUMPUR – Perseorangan wanita negara, K. Letshanaa mempamerkan semangat juang cukup tinggi ketika mara ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters.
Pada aksi pusingan pertama di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, pemain No.42 dunia itu menewaskan Wen Chi Hsu dari Taiwan 9-21, 21-12, 22-20.
Kemenangan itu membolehkan Letshanaa akhirnya mengikat rekod kemenangan 1-1 dengan Chi Hsu selepas pertemuan sulung pada Piala Uber 2024 memihak kepada pemain Taiwan berkenaan.
Menjelang aksi pusingan kedua esok, dia dijangka berdepan halangan sukar apabila perlu beraksi menentng pilihan keenam dari Kanada, Michelle Li.
Michelle memastikan kemaraan ke pusingan kedua selepas membenam cabaran pemain India, Malvika Bansod menerusi aksi straight set 23-21, 21-12.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa perseorangan lelaki, Justin Hoh apabila tersingkir daripada saingan selepas tewas 15-21, 11-21 kepada Wang Zheng Xing dari China. – KOSMO! ONLINE














