AMPANG JAYA – Polis menjalankan siasatan berhubung video tular yang mendakwa seorang murid lelaki dipukul hingga mengalami kecederaan di sebuah sekolah rendah, di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya mengesan video berkenaan yang tular di media sosial kira-kira pukul 2.45 petang, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya juga menerima satu laporan polis oleh seorang lelaki berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 3.06 petang, kelmarin.
“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mendatangkan kecederaan.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial seorang bapa mendakwa anaknya merupakan murid darjah satu ditampar dibahagian muka oleh seorang rakan sekelas kerana berjalan terlalu perlahan ketika ingin ke tandas.
Bapa murid berkenaan memaklumkan, ekoran kejadian itu, anaknya mengalami kecederaan yang serius pada bahagian muka. – KOSMO! ONLINE














