RAUB – Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 melahirkan rasa syukur apabila bantuan tunai kerajaan mula dikreditkan ke dalam akaun masing-masing hari ini, sekali gus membantu meringankan beban kewangan terutama golongan ibu tunggal.
Seorang penerima, Rasidah Mohd. Idris, 60, dari Felda Tersang 3 berkata, bantuan yang diterima amat bermakna buatnya dalam meneruskan kelangsungan hidup bersama anak-anak.
“Saya bersyukur kerana masih menerima bantuan kerajaan. Hari ini RM300 STR telah dikreditkan ke dalam akaun saya dan selain itu, saya turut menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sebanyak RM100.
“Arwah suami meninggal dunia pada tahun 2016 dan sejak itu saya menyara tujuh anak hasil daripada pendapatan ladang kelapa sawit,” katanya di sini hari ini.
Katanya, seorang daripada anaknya masih menuntut di tingkatan lima dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.
“Sebahagian daripada wang STR ini saya bercadang untuk digunakan bagi keperluan pembelajaran anak, termasuk bayaran kelas tambahan dan kelengkapan sekolah. Baki selebihnya pula untuk perbelanjaan harian membeli keperluan asas,” ujarnya.
Seorang lagi penerima, Fatimah Ahmad, 45, dari Kuala Lipis, turut bersyukur apabila menerima bantuan STR berjumlah RM300 serta bantuan SARA sebanyak RM100.
Menurutnya, walaupun ada yang beranggapan nilai bantuan tersebut kecil, namun ia cukup besar dan bermakna bagi golongan kurang berkemampuan.
Di Kuala Terengganu, seorang penjaja makanan, Esan Mustaffa Muda, 47, berkata, dia akan menggunakan STR fasa satu sebanyak RM400 untuk persiapan tiga anaknya berusia 8 hingga 16 tahun menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Saya akan simpan sumbangan tunai ini untuk membeli baju raya anak-anak. Ikutkan saya tiada bajet lebihan sebab banyak telah digunakan untuk membeli kelengkapan sekolah anak baru-baru ini.
“Mujur kerajaan beri STR tepat pada masanya. Tambah STR one-off (sekali bayar) keseluruhan RM200 yang akan saya dan isteri terima bulan depan, bolehlah kami siapkan persiapan raya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Dia juga bersyukur apabila sebahagian belanja dapur keluarganya dapat ditampung dengan menggunakan bantuan Sara RM100 yang diterima setiap bulan. – KOSMO! ONLINE














