KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki pofesional negara, Lee Zii Jia bermula langkah kanan pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters selepas mara ke pusingan kedua.
Pada aksi pusingan pertama di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, bekas juara Asia itu menang 21-19, 21-11 ke atas pemain India, H.S. Prannoy dalam tempoh 35 minit.
Zii Jia menunjukkan banyak peningkatan dari segi permainan jika dibandingkan ketika dia tersingkir di pusingan pertama pada Terbuka Malaysia dan Terbuka India sebelum ini.
Walaupun berdepan tentangan sengit di set pertama, namun pemain berusia 28 tahun itu mempamerkan aksi lebih meyakinkan di set kedua bagi mencatat kemenangan straight set.
Sebagai rekod, ini merupakan kali pertama Zii Jia berjaya melangkah ke pusingan kedua selepas kali terakhir melakukannya pada kejohanan Orleans Masters Mac tahun lalu.
Sebelum ini, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu terpaksa berehat panjang bagi memberikan sepenuh tumpuan terhadap proses pemulihan kecederaan yang dialami.
Menjelang pusingan kedua esok, Zii Jia akan berdepan pemain Thailand, Panitchaphon Teeraratsakul yang menewaskan Lee Chai Hao dari Taiwan 21-10, 21-18. – KOSMO! ONLINE














