PETALING JAYA – Perdana Menteri memaklumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkini adalah pada paras 4.9 peratus berbanding September lalu iaitu sekitar 4.7 peratus.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, angka tersebut melebihi unjuran rasmi sebelum ini iaitu di antara 4 sehingga 4.8 peratus.
“Bukan sahaja KDNK berkembang, tetapi prestasi ringgit adalah yang terbaik sejak lima tahun, iaitu mencapai RM4.05 ketimbang dolar Amerika Syarikat.
“Indeks bursa saham, Bursa Malaysia mencecah 1,700 mata tertinggi sejak tujuh tahun yang lalu, manakala kadar pengangguran pada November 2025 turun pada 2.9 peratus, kadar terendah dalam tempoh 11 tahun,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN- Simpang Renggam) yang bertanyakan tentang prestasi pertumbuhan ekonomi tahun 2025.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, peningkatan ekonomi tersebut adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk ahli-ahli Parlimen yang telah menjamin kestabilan politik dan kesinambungan serta kejelasan dasar.
“Bersama dengan usaha gigih perkhidmatan awam dan juga peniaga dan pelabur,” katanya. – KOSMO! ONLINE














