fbpx
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (dua dari kiri) turut hadir ketika Majlis Pelancaran Robot AGIBOT Innovation di Malaysia di i-City, Shah Alam, Selangor baru-baru ini – AFIQ RAZALI

Robot humanoid China diperkenal untuk pasaran pengguna Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHADIRAN robot pintar dalam kehidupan seharian manusia bukan lagi satu gambaran masa depan, sebaliknya sudah menjadi realiti di Malaysia.

Angan-angan bahawa robot bakal menjadi sebahagian isi rumah kini sudah menjadi kenyataan apabila masyarakat sudah boleh membeli robot untuk kegunaan persendirian.

Perkembangan itu bukan sahaja memperkayakan landskap teknologi negara, malah membuka perbincangan tentang masa depan interaksi antara manusia dan mesin bagi masyarakat Malaysia.

Pencapaian itu dipercepatkan dengan kemasukan AGIBOT Innovation (Shanghai) Technology Co. Ltd. iaitu sebuah syarikat robotik dan kecerdasan buatan (AI) dari China yang telah memperkenalkan rangkaian robot humanoid dan robot pintar ke pasaran Malaysia.

Menurut Rakan Kongsi dan Pengasas Bersama AGIBOT, Daniel Jiang, pelancaran itu bukan sekadar memperlihatkan kecanggihan teknologi global, malah mencerminkan kesediaan Malaysia untuk menerima robot sebagai sebahagian daripada ekosistem pengguna, perniagaan dan bandar pintar.

“Kemasukan robot AGIBOT ke pasaran Malaysia menandakan satu fasa baharu dalam penerimaan robot sebagai sebahagian daripada kehidupan moden.

“Daripada robot humanoid yang berinteraksi dengan manusia sehinggalah robot pembersih dan platform pendidikan, AGIBOT menawarkan gambaran menyeluruh tentang bagaimana robot pengguna dan robot profesional boleh wujud bersama dalam ekosistem tempatan,” katanya pada Majlis Pelancaran Robot AGIBOT Innovation di Malaysia di i-City, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, sebagai sebuah negara yang giat melaksanakan agenda pendigitalan dan automasi, Malaysia dilihat sebagai pasaran strategik bagi robot pengguna.

Pusat beli-belah, bangunan komersial, institusi pendidikan dan ruang pameran kini menjadi tapak awal bagi integrasi robot pintar.

Dalam konteks berkenaan, kehadiran robot AGIBOT dilihat selari dengan keperluan tempatan yang memerlukan teknologi mesra pengguna, berupaya berinteraksi dengan manusia dan menyokong operasi harian secara praktikal.

Kongsinya lagi, antara model yang paling mencuri tumpuan ialah AGIBOT A2 iaitu sebuah robot humanoid bersaiz hampir sama dengan manusia dewasa yang direka untuk interaksi langsung dengan komuniti.

“A2 dibangunkan sebagai robot perkhidmatan dan komunikasi, ia lengkap dengan sistem pengecaman wajah, interaksi suara dua hala serta navigasi autonomi.

“Dalam persekitaran Malaysia, robot seperti A2 berpotensi digunakan sebagai penyambut tetamu digital di hotel, pusat pameran, pejabat korporat dan acara awam,” ujarnya.

Robot AGIBOT X2 direka untuk hiburan, pendidikan dan demonstrasi.

Katanya, keupayaannya untuk memberi maklumat, menjawab soalan dan berinteraksi secara natural menjadikan A2 bukan sekadar alat teknologi, malah medium baharu kepada pelanggan.

Berbeza dengan A2 yang bersifat profesional dan korporat, AGIBOT X2 pula tampil sebagai robot yang lebih mesra pengguna serta bersifat interaktif.

AGIBOT X2 direka dengan fokus kepada hiburan, pendidikan dan demonstrasi teknologi.

Saiznya yang lebih kecil serta pergerakan lincah menjadikan robot itu sesuai digunakan dalam pusat pembelajaran, sekolah, pameran dan acara komuniti.

Di Malaysia, AGIBOT X2 membuka peluang baharu dalam pembelajaran berasaskan robotik, khususnya untuk memperkenalkan kanak-kanak dan remaja kepada asas AI dan pengaturcaraan melalui interaksi langsung.

Dalam masa sama, AGIBOT turut membawa masuk model yang lebih berorientasikan industri dan operasi teknikal melalui AGIBOT G2.

“Robot ini direka untuk tugasan yang memerlukan ketepatan, kekuatan dan kestabilan terutamanya dalam persekitaran industri serta logistik.

“Walaupun G2 bukan robot konsumer, namun kehadirannya di Malaysia mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap automasi pintar dalam sektor pembuatan dan rantaian bekalan,” jelas Jiang.

Ujarnya lagi, robot seperti AGIBOT G2 boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia bagi tugas berulang dan berisiko.

Sementara itu, AGIBOT D1 Pro dan D1 Edu memperlihatkan satu lagi dimensi robotik melalui rekaan berkaki empat yang lebih lasak serta fleksibel.

Robot tersebut sesuai untuk persekitaran yang mencabar serta aplikasi pendidikan dan latihan.

Dalam konteks Malaysia, D1 Edu mempunyai potensi besar sebagai platform pembelajaran di universiti, politeknik dan pusat latihan teknikal.

Robot itu membolehkan pelajar memahami konsep mobiliti robot, sensor, kawalan dan AI dalam situasi sebenar.

D1 Pro pula boleh diterokai untuk kegunaan pemeriksaan keselamatan, simulasi bencana atau operasi teknikal tertentu.

Melengkapkan ekosistem robot humanoid AGIBOT ialah OmniHand Series iaitu siri tangan robotik berkeupayaan tinggi yang direka untuk memberikan kecekapan manipulasi objek lebih halus.

OmniHand membolehkan robot melakukan tugas seperti memegang, menyusun dan mengendalikan objek dengan lebih tepat.

Dalam persekitaran Malaysia, teknologi itu membuka ruang kepada penggunaan robot dalam demonstrasi seni, latihan kemahiran teknikal, serta eksperimen automasi yang memerlukan ketelitian tinggi.

Menurut Jiang, bagi aplikasi yang lebih dekat dengan kehidupan seharian, AGIBOT C5 muncul sebagai robot pembersih autonomi yang direka khusus untuk kegunaan komersial.

“Dengan keupayaan menyapu dan mengepel secara automatik serta sistem navigasi pintar, C5 sesuai digunakan di pusat beli-belah, hospital, bangunan pejabat dan hotel.

“Dalam konteks bandar pintar Malaysia, robot seperti C5 bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kebersihan, malah menyokong operasi fasiliti yang lebih cekap dan konsisten terutamanya di ruang berskala besar,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN