KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan sesiapa sahaja yang tidak menerima Bahasa Melayu, sebaiknya jangan tinggal di Malaysia.
Seri Paduka Baginda bertitah, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain, mestilah menerima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia.
Titah Seri Paduka Baginda, sistem pendidikan negara juga perlu terus diperkasa sebagai pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara.
“Jika hendak buat sistem pendidikan yang baharu, ia mestilah dibuat selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia adalah Bahasa Kebangsaan.
“Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain, mestilah terima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia. Kalau ada yang tidak terima Bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 di Parlimen di sini hari ini.
Sementara itu, Sultan Ibrahim menyeru agar kawalan terhadap teknologi diperkukuh bagi mengelakkan kes penipuan yang boleh menggugat ketenteraman awam.
“Ancaman jenayah berat dan keganasan serta perbuatan yang menyentuh ‘3R’ (Race, Religion, Royalty) juga hendaklah ditangani dengan berkesan.
“Undang-undang berhubung keselamatan negara serta ancaman luar negara wajar diwujudkan segera, kerana hanya dengan cara ini keharmonian antara semua kaum dan kedaulatan negara akan sentiasa terpelihara,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE














