GEORGE TOWN – Jenazah pelakon Nadia Kesuma yang meninggal dunia akibat sakit jantung, Khamis lalu akan dikebumikan pada pagi esok, mengikut waktu tempatan di Jeddah, Arab Saudi.
Perkara tersebut dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi Facebooknya, sebentar tadi selepas bertemu dengan suami Nadia Kesuma, Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah dan keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tengah hari tadi.
“Dalam suasana amat sayu dan sarat dengan rasa kehilangan, mereka (keluarga Nadia Kesuma) akan berangkat ke King Fahad Hospital, Jeddah untuk menemui Allahyarhamah Nadiah Kasumawati Abdul Karim dan menguruskan segala urusan jenazah, termasuk dokumentasi serta pengambilan barang-barang peribadi.
“Saya juga dimaklumkan bahawa jenazah Allahyarhamah Nadiah Kasumawati Abdul Karim akan dikebumikan pada pagi esok mengikut waktu tempatan di Jeddah, Arab Saudi, tertakluk kepada kelancaran urusan di sana,” tulisnya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai memanjat doa buat arwah Nadia Kesuma dan melancarkan urusan ahli keluarga wanita itu sepanjang perjalanan ke Jeddah.
“Dalam suasana yang sayu ini, mari sama-sama kita menadah tangan dan memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT. Semoga Allahyarhamah diampunkan segala dosa, dicucuri rahmat, ditempatkan bersama para mukminin dan solihin, serta bersemadi dengan tenang di taman-taman syurga dalam limpahan maghfirah-Nya.
“Kepada Prof. Dr. Muhammad Kamarul serta seluruh ahli keluarga, semoga diberi kekuatan untuk melalui hari-hari mendatang yang pastinya amat sukar,” ujarnya lagi. -KOSMO! ONLINE














