fbpx
AARON (kanan) dan Wooi Yik terlepas peluang ke pentas final Terbuka India.

Terbuka India: Aaron-Wooi Yik kandas di separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk melangkah ke pentas final Terbuka India tidak kesampaian apabila tersingkir di tangan gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita, sebentar tadi.

Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi itu, pasangan negara tewas dalam pertarungan tiga set 10-21, 21-13, 11-21 yang berlarutan selama 44 minit.

Mengulas mengenai kekalahan tersebut, Wooi Yik mengakui kegagalan menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan kelajuan bulu tangkis menjadi punca utama mereka gagal mempamerkan aksi sebenar.

“Situasi hari ini sangat berbeza berbanding semalam. Bulu tangkis agak laju dan keadaan berangin, kami agak terlambat untuk menyesuaikan diri.

“Kami banyak bertahan hari ini sebab sukar untuk mendapatkan rentak apabila bulu tangkis laju. Sepatutnya kami perlu bermain dengan lebih agresif, itu pengajaran yang perlu diambil,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Aaron-Wooi Yik bermula dengan langkah kiri pada set pertama apabila permainan mereka serba tidak menjadi, menyaksikan mereka tewas mudah 10-21 hanya dalam tempoh sembilan minit.

Tersentak dengan kekalahan itu, Aaron-Wooi Yik bangkit pada set kedua sebelum menang 21-13 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bagaimanapun, momentum itu gagal diteruskan pada set ketiga apabila pasangan negara ketinggalan 6-11 sebelum membenarkan lawan terus menjarakkan kedudukan dan tewas 11-21.

Kekalahan tersebut meleburkan rekod bersih Aaron-Wooi Yik ke atas gandingan ranking ke-22 dunia itu, menjadikan rekod pertemuan kini terikat 1-1 selepas pasangan negara melakar kemenangan pada Terbuka Thailand 2025 sebelum ini.

Aaron-Wooi Yik kini perlu segera melupakan kekecewaan ini dan mengalihkan fokus kepada kejohanan Indonesia Masters yang akan bermula Selasa ini di Jakarta. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI