GUNUNG Merbabu dan Gunung Prau merupakan dua destinasi pendakian ikonik di Jawa Tengah, Indonesia.
Lazimnya, mendaki kedua-dua gunung ini dijalankan melalui pakej pendakian yang diuruskan secara tersusun dan selamat. Cabaran tersebut disahut oleh Diana Shafira Faizal Parish apabila dia mengambil pakej pendakian melibatkan kedua-dua gunung berkenaan melalui Bentak Expedition bersama rakan-rakan.
Gunung pertama yang ditakluk ialah Gunung Merbabu, sebuah gunung berapi dorman yang ‘menjulang’ setinggi kira-kira 3,145 meter dari aras laut.
Menurut wanita berusia 26 tahun itu, pendakian mereka dilakukan melalui laluan Suwanting iaitu laluan sepanjang kira-kira 12 kilometer ke puncak.
“Ekspedisi kami memilih laluan Suwanting walaupun lebih jauh berbanding laluan lain kerana menawarkan pemandangan yang indah sepanjang perjalanan.
“Kami bermula pukul 10 pagi dan berhenti di beberapa ‘checkpoint’ sebelum tiba di tapak perkhemahan pada pukul 3 petang.
“Kami kemudian bermalam di tapak perkhemahan, dengan khemah dan makanan telah disediakan oleh pihak penganjur,” katanya kepada CitaRasa.

Pada waktu malam, para pendaki berdepan cabaran cuaca yang sangat sejuk sehingga ada yang tidak dapat tidur dengan selesa. Diana Shafira sendiri mengalami kekejangan otot sehingga terpaksa mengambil garam rehidrasi oral (ORS) untuk mengurangkan kesakitan. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila hujan lebat dan angin kencang melanda sepanjang malam.
Namun, cabaran tersebut tidak menghalang mereka meneruskan pendakian pada pukul 3 pagi dalam keadaan gunung gelap sepenuhnya.
Dengan hanya berpandukan lampu kepala dan bimbingan pemandu, mereka akhirnya berjaya tiba di puncak Gunung Merbabu pada pukul 4.30 pagi.
Usaha tersebut membuahkan hasil apabila para pendaki berpeluang menyaksikan pemandangan matahari terbit yang memukau.

“Alhamdulillah, ketika di puncak, cuaca sangat baik dan lapisan awan yang indah mengelilingi kawasan puncak. Selepas menikmati pemandangan dan merakam gambar, kami mula turun gunung sekitar pukul 8 pagi.
“Kami singgah di beberapa lokasi bergambar terkenal seperti pohon Jomblo yang merupakan salah satu ikonik Gunung Merbabu,” katanya.
Selepas menamatkan pendakian Gunung Merbabu, para pendaki bermalam di inap desa sebelum meneruskan perjalanan ke Gunung Prau pada keesokan harinya tanpa rehat panjang. Pendakian Gunung Prau bermula pada awal pagi dengan para pendaki bersiap pada pukul 1 pagi sebelum bertolak menggunakan ojek ke ‘checkpoint’ pertama pada pukul 2 pagi.
Cabaran utama sepanjang pendakian ialah laluan tangga yang mencanak panjang, manakala kaki pendaki sudah terasa letih akibat mendaki Merbabu sehari sebelumnya. Para pendaki berjaya tiba di puncak Gunung Prau yang mempunyai ketinggian sekitar 2,000 meter sebelum subuh, namun sayangnya pemandangan tidak kelihatan akibat kabus tebal.
Tambahnya, suhu yang sangat sejuk memaksa mereka menggunakan selimut kecemasan untuk menahan kesejukan.
“Sejujurnya, saya agak kecewa kerana kabus menutup panorama puncak Gunung Prau. Saya berhasrat untuk mencuba lagi pada masa akan datang,” katanya.
















