PETALING JAYA – Nuh Travel & Tours Sdn. Bhd. memohon orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kehilangan seorang jemaah umrah yang juga pelakon, Nadiah Kasumawati Abdul Karim atau lebih dikenali sebagai Nadia Kesuma kerana ia boleh menjejaskan usaha pencarian beliau.
Menurut kenyataan rasmi syarikat itu, Nadia Kesuma dilaporkan gagal dikesan selepas tiba di Jeddah bagi tujuan transit sebelum meneruskan penerbangan ke London bersama kumpulan Pakej Umrah Ziarah London dan Paris.
Katanya, jemaah berkenaan merupakan antara 21 peserta dan telah menerima dua pas masuk penerbangan Kuala Lumpur–Jeddah dan Jeddah–Heathrow (London) yang diuruskan sepenuhnya oleh pihak syarikat.
“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah, semua jemaah telah diberikan taklimat oleh ketua rombongan dan diminta berkumpul semula di lokasi ditetapkan selepas urusan peribadi.
“Namun ketika jemaah lain telah beratur untuk penerbangan seterusnya ke London, Puan Nadiah didapati tidak berada bersama kumpulan,” jelas kenyataan itu.
Pihak agensi menambah, susulan kejadian tersebut, ketua rombongan segera memaklumkan kepada pihak pengurusan lapangan terbang sebelum tiga pengumuman awam dibuat bagi memanggil jemaah berkenaan ke balai berlepas, selain melakukan pencarian di kawasan sekitar.
Bagaimanapun, kenyataan itu menambah, Nadia Kesuma masih gagal ditemui sehingga pesawat ke London terpaksa berlepas tanpa kehadirannya berikutan keperluan operasi penerbangan.
Nuh Travel memaklumkan tindakan segera telah diambil dengan menggerakkan petugas di Mekah dan Jeddah, selain memaklumkan perkara itu kepada suami Nadia Kesuma, muassasah dan pihak berkuasa di Arab Saudi.
“Sehingga kini, usaha pencarian masih dijalankan secara aktif dengan kerjasama pihak berkaitan. Percubaan menghubungi telefon bimbit beliau juga telah dibuat, namun masih belum menerima sebarang jawapan,” katanya.
Nuh Travel turut memohon doa daripada semua pihak dan memaklumkan bahawa sebarang perkembangan lanjut hanya akan disampaikan melalui saluran rasmi syarikat. – KOSMO! ONLINE














