PUTRAJAYA – Wang tunai berjumlah RM4.4 juta, selain jongkong emas seberat 3.7 kilogram (kg) dengan nilai RM2.5 juta merupakan sebahagian barangan disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Parasit dengan nilai keseluruhan berjumlah RM11.4 juta.
Turut disita ialah mata wang wang asing bernilai RM1.4 juta, satu unit Range Rover SVR bernilai RM360,000, barang kemas (RM294,039), dua cincin berlian (RM20,000) dan medalion emas 150 gram dengan nilai RM102,000.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, selain itu, sebanyak 75 akaun turut dibekukan dengan anggaran nilai sebanyak RM32.5 juta.
“Jadi, dalam kes ini, penyitaan aset telah dibuat di dua lokasi masing-masing di sebuah residensi di Kuala Lumpur dan di Besut, Terengganu.
“Pegawai saya terpaksa ke Terengganu dua kali bagi mendapatkan barang-barang kes ini berdasarkan maklumat yang diterima.
“Kita pamerkan barang-barang ini bukan untuk ‘showcase’, tetapi sebagai barang bukti supaya maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah betul,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pada masa sama, Azam berkata, menerusi kes melibatkan siasatan kes tender perolehan membabitkan bekas Panglima Tentera Darat itu sebanyak 23 individu turut ditahan.
Selain itu, katanya, SPRM turut membuka 22 ‘predicate offense’ dan satu kertas melibatkan penggubahan wang haram.
“Jadi, untuk maklumat semua, siasatan masih kita teruskan.
“Namun memikian dalam beberapa kertas siasatan berkenaan, saya telah mengarahkan pegawai penyiasat untuk menyegerakan siasatan ini pada minggu hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














