KLANG – Kegiatan pengedaran pelbagai kosmetik termasuk produk ubat kuat seks sejak dua tahun lalu berakhir selepas diserbu pihak berkuasa dalam kejadian di Jalan Medan, Petaling Jaya dekat sini, kelmarin.
Serbuan pukul 1.30 tengah hari dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang itu berjaya merampas kesemua produk tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) bernilai hampir RM1 juta.
Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang, Superintendan Fakharuddin Amri Sanusi berkata, pihaknya melakukan pemantauan selama 20 minit di lokasi tersebut sebelum melaksanakan serbuan tersebut.
Katanya, sepasukan PPM kemudiannya telah memasuki premis dan memeriksa barangan komestik makanan dan minuman dengan mendapati ia disyaki tiada kelulusan KKM.
“Semasa pemeriksaan premis, seorang wanita berusia 48 tahun telah mengaku sebagai pemiliknya.
“Kita kemudiannya telah meminta wanita itu mengemukakan semua dokumen kelulusan daripada KKM, namun gagal ditunjukkan. Kesemua produk kosmetik yang disyaki tidak sah itu dianggarkan bernilai RM 910,750,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, siasatan awal turut mendapati pemilik premis itu telah menjalankan kegiatannya itu sejak dua tahun lalu.
Kesemua barangan tersebut diperoleh daripada Indonesia.
“Pemilik tersebut bagaimanapun tidak ditahan selepas keterangannya diambil. Rampasan kesemua barangan itu telah diserahkan kepada kepada KKM.
“Kes disiasat mengikut Seksyen Akta Racun 1952 (Akta Racun 1952 Peraturan kawalan dadah dan kosmetik) serta Akta Makanan 1983 (Akta Makanan 1983 Peraturan (1)(j) Tiada alamat – alamat Penginapan),” katanya. – KOSMO! ONLINE














