PUTRAJAYA – Kerajaan sentiasa bersikap terbuka dan mendengar pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan penting berhubungan cadangan pelaksanaan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, maklum balas yang diterima daripada ibu bapa, guru-guru serta jawatankuasa pendidikan menunjukkan wujud permintaan perkara itu diteliti semula.
“Ini adalah daripada ‘feedback’ yang kita dapat daripada ibu bapa, guru-guru, komuniti pendidikan dan ini semua saya ingat tidak ada masalah pun untuk kita kaji kerana bila ada permintaan itu menandakan kerajaan ini mendengar.
“Bila ada permintaan untuk dilihat kita ambil pendekatan itu untuk lihat dan kaji bersama sebelum kita buat keputusan-keputusan penting dalam negara,” katanya.
Fadhlina berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas Program PAKAT Kurikulum Prasekolah & Kurikulum Prasekolah (Pendidikan Khas) 2026 dan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(1) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mahu membuat keputusan secara tergesa-gesa, sebaliknya mengambil pendekatan berhati-hati dengan menjalankan kajian menyeluruh sebelum sebarang dasar dimuktamadkan.
“Kita pun tidak mahu buat keputusan tergesa-gesa sebab itu kita ambil pendekatan kita kaji, dapatkan nasihat daripada majlis penasihat, dapatkan pandangan daripada pakar-pakar pendidikan yang berpengalaman.
“Kita juga melihat bahawa setiap tahun kita memperkukuhkan pentaksiran yang sedia ada yang berjalan ini. Pengukuhan itu pun berlaku, kajian juga berlaku, jadi tidakada masalah saya fikir dalam konteks itu,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina berkata, pelantikan ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) kini berada dalam proses dan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat tahun ini.
Menurutnya, MPPK akan dianggotai individu daripada pelbagai latar belakang yang berperanan penting dalam pendidikan negara termasuk berpengalaman dalam dasar, pengajaran serta penglibatan di peringkat akar umbi.
“Cuma menunggu mereka masuk, dilantik dan kemudian kita akan selesaikan dalam tahun ini juga, sesegera mungkin kerana kita nampak ada maklum balas yang pelbagai berkaitan pandangan-pandangan itu.
“Kita akan kumpulkan kajian-kajian yang telah pun ada untuk kita kaji bersama dan lihat bersama dengan Majlis Penasihat, insyaAllah sesegera mungkin,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














