KLANG – Seorang lelaki yang memiliki 26 rekod lampau ditahan selepas dipercayai menyebabkan kebakaran enam buah rumah di Kampung Johan Setia di sini semalam.
Kejadian berlaku pada pukul 2 petang di dua lokasi berasingan dengan jarak kira-kira 500 meter.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamal Arifin Aman Shah berkata, sebuah rumah terbakar di lokasi pertama, manakala lima lagi di lokasi kedua dengan api berjaya dikawal pihak bomba dalam masa dua jam.
“Suspek tempatan berusia 44 tahun yang menganggur diberkas di lokasi kejadian. Semakan mendapati lelaki itu memiliki 26 rekod termasuk 15 rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini
Jelasnya, permohonan reman akan dibuat di mahkamah hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Daerah Klang Selatan di talian 03-3376 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














