KULIM – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus ketika cuba menyelamatkan rakannya di Sungai Sedim, Kampung Baru Jemerli, Merbau Pulas, di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, pihaknya menerima maklumat pukul 4.40 petang dan siasatan mendapati mangsa datang ke kawasan sungai itu bersama lima rakan untuk mandi sebelum cuba menyelamatkan seorang rakannya yang nyaris lemas.
“Rakan mangsa berjaya berpaut pada dahan pokok berhampiran, manakala mangsa dihanyutkan arus sungai. Rakan-rakannya kemudian meminta bantuan orang kampung sebelum remaja itu ditemui tersangkut pada tunggul kayu kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Merbau Pulas mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada pukul 5.20 petang.
Tambahnya, mayat remaja itu dihantar ke Hospital Kulim di sini untuk proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE














