fbpx
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menyampaikan hadiah kepada Aaron dan Wooi Yik selepas final Terbuka Malaysia kelmarin. - SHIDDIEQIIN ZON

Belum ada tuah menang Terbuka Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEJOHANAN Badminton Terbuka Malaysia 2026 melabuhkan tirainya kelmarin dengan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur muncul naib juara selepas tewas di perlawanan akhir.

Walaupun tidak dapat menamatkan kemarau 12 tahun dalam acara tersebut, namun aksi dipamerkan bekas juara dunia itu wajar diberikan pujian apabila sudah berjuang hingga ke titisan peluh terakhir.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menyifatkan anak-anak buahnya itu sudah semakin hampir ke prestasi terbaik, namun tuah nyata tidak menyebelahi mereka pada saingan kali ini.

Tambahan pula, mereka juga sudah menepati ramalan sebagai pilihan kedua apabila melangkah ke pentas final bagi membuat perhitungan menentang pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

“Aaron-Wooi Yik sudah menampilkan aksi cukup konsisten sepanjang Terbuka Malaysia ini. Bagi saya, ini merupakan antara prestasi terbaik mereka selain ketika muncul juara pada Kejohanan Badminton Asia tahun lalu.

“Prestasi mereka juga sudah semakin hampir ke tahap terbaik seperti dulu tetapi kali ini, tuah tidak memihak kepada mereka untuk menjulang kejuaraan di Malaysia,” kata pengendali dari Indonesia itu.

Pada perlawanan akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil kelmarin, Aaron-Wooi Yik mempamerkan aksi cukup baik sepanjang tiga set permainan sebelum akur dengan kekalahan 15-21, 21-12, 18-21 dalam tempoh 65 minit.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara dalam acara beregu lelaki adalah menerusi gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah yang melakukannya pada edisi 2014 menewaskan beregu China, Chai Biao-Hong Wei.

Sementara itu, Herry juga mengakui masih banyak kerja perlu dilakukan beregu-beregu yang lain sekiranya mereka mahu mengejar kedudukan Aaron-Wooi Yik selaku beregu lelaki No.1 negara ketika ini.

“Secara keseluruhan, masih banyak yang perlu diperbaiki oleh skuad beregu lelaki. Pemain-pemain lain memerlukan masa untuk memperbaiki prestasi jika mahu melakukan pencapaian sama seperti Aaron-Wooi Yik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN