KUANTAN – Tindakan seorang lelaki yang dipercayai cuba memasuki sebuah rumah dikatakan di Taman Indera Sempurna di sini kelmarin dengan merosakkan pagar rumah menimbulkan keresahan kepada orang ramai.
Berdasarkan video yang tular menunjukkan seorang lelaki berbaju hitam nekad cuba merosakkan pagar besi dengan menggegarkan pagar berkenaan sehingga menimbulkan bunyi bising.
Berdasarkan kenyataan dalam video berkenaan menyatakan kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi dan menasihatkan orang Kuantan agar berhati-hati.
Susulan penularan video berkenaan rata-rata netizen menyatakan kebimbangan dengan kejadian itu dan meminta pihak terbabit segera melaporkan kejadian kepada polis.
Orang ramai yang resah dengan kejadian itu juga meminta semua penduduk berhati-hati.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, setakat ini polis masih belum menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya akan cuba menyiasat kejadian yang tular itu. – KOSMO! ONLINE














