JEMPOL – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol tampil dengan idea terkini apabila menyampaikan perutusan khas buat murid dan pelajar di 69 buah sekolah di daerah ini menggunakan video teknologi Kecerdasan Buatan (AI) pada hari pertama persekolahan sesi 2026.
Lebih istimewa lagi, perutusan khas video AI dikendalikan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) itu disampaikan ketika Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar sedang mengerjakan umrah.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan R Premkumar, video berkenaan memfokuskan kepada isu buli serta nasihat kepada para pelajar mengandungi tiga bahasa, iaitu Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil, mengikut kesesuaian sekolah.
“Program ini merupakan langkah permulaan IPD Jempol dalam memperkasakan penggunaan teknologi AI sebagai medium penyampaian mesej pencegahan jenayah, khususnya berkaitan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di peringkat sekolah.
“Malah melalui video ini juga kita ketengahkan 25 kes membabitkan kesalahan pelajar di daerah ini antaranya tujuh rogol, empat kes mendatangkan kecederaan dan lain-lain lagi berserta seksyen serta hukuman bagi meningkatkan kesedaran bukan hanya kalangan pelajar serta warga sekolah bahkan ibu bapa,” katanya sempena Program Back To School Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kikir (Model Khas), di sini, hari ini.
Sementara itu, Nur Irdina Najiha Kamarudin, 17, berkata, pelajar dilihat lebih seronok serta fokus semasa video AI disiarkan kerana terdapat grafik serta penyampaian polis lebih mudah diterima. – KOSMO!ONLINE














