KUALA LUMPUR – Pelakon Kamal Adli mengakui pasrah dan reda menanti keputusan prosiding hakam berhubung rumah tangganya bersama isteri, Uqasha Senrose, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.
Ujar Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, emosinya sukar digambarkan tatkala prosiding memasuki fasa penentuan selepas usaha mempertahankan perkahwinan dilakukan sejak awal.
“Saya tak tahu nak cakap apa. Prosiding ini dah di hujung-hujung. Kalau memang tiada jodoh, Allahualam.
“Saya sudah cuba pertahankan dari awal lagi. Sekarang cuma tunggu keputusan. Saya pun tak tahu nak cakap apa,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pelakon drama Bahagia Yang Tertangguh itu tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 9.30 pagi dengan wajah sugul, ditemani peguamnya, Abdul Hadi Mohamad Salleh, bagi prosiding hakam islah melibatkan kedua-dua belah pihak.
Sementara itu, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 34, dilihat hadir berasingan dan memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai prosiding tersebut.
“Doakan perkara baik-baik,” ujarnya ringkas.
Peguam mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian memaklumkan, prosiding hari ini melibatkan peringkat kedua proses hakam keluarga sebelum mahkamah membuat penentuan seterusnya.
“Hari ini masuk peringkat kedua hakam keluarga.
“Akan berlaku lantikan hakam daripada kedua-dua pihak dan selepas itu mahkamah akan menentukan sama ada diteruskan dengan prosiding timbang tara hakam atau sebaliknya,” jelasnya.
Sebelum ini, Uqasha mencetuskan perhatian umum apabila mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang perkahwinan termasuk dipukul serta dikasari ketika sedang hamil.
Bagaimanapun, Kamal menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menegaskan tidak pernah melakukan kekerasan terhadap isterinya sepanjang hampir empat tahun hidup bersama.
Mahkamah sebelum ini menasihatkan Kamal supaya melafazkan cerai selepas laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) mendapati wujud shiqaq atau perbalahan berpanjangan antara pasangan tersebut.
Namun, Kamal enggan berbuat demikian dengan alasan masih menyayangi anak perempuan tunggal mereka.
Terdahulu, Uqasha memfailkan cerai terhadap Kamal pada Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman dan pergolakan rumah tangga berterusan.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, kini berusia setahun lapan bulan.
Pada 18 Disember lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan mengesahkan kegagalan JKP mencapai kata sepakat serta mensabitkan kewujudan shiqaq dalam rumah tangga pasangan selebriti tersebut. – KOSMO! ONLINE














