Antara peserta dengan ikan yang berjaya dipancing.

Meriah ulang tahun pertama kolam Fish Garden 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LOKASINYA yang berhampiran dengan kawasan pesisir pantai menjadikan kolam ini antara salah satu kolam yang menggunakan air laut tulen. Keistimewaan kolam seperti ini ialah ia dapat memberikan persekitaran yang lebih semula jadi dan autentik.Paling penting, ia membuatkan ikan di dalam kolam menjadi lebih kuat dan lasak.

Sambutan ulang tahun

Saya berkesempatan menyertai sambutan ulang tahun pertama kolam Fish Garden 2. Pemilik kolam membuat satu acara memancing dengan pelepasan awal ikan seba­nyak 310 ekor dari pelbagai spesies dan cabutan bertuah buat peman­cing yang hadir.

Lebih 200 orang peserta menyertai acara ini yang dianjurkan bagi menghargai sokongan pemancing yang sentiasa memberi sokongan pada kolam.

Rata-rata peserta yang hadir teruja dengan hadiah-hadiah cabutan bertuah yang ditawarkan. Satu kekili Shimano Aldebaran DC, lebih 10 unit kekili D-SI Bosslat, joran dan pelbagai baucar khas buat peman­cing yang hadir.

Acara bermula
Tepat pukul 10 pagi, isyarat menandakan acara telah dimulakan, tanpa lengah semua peserta melontar umpan ke dalam kolam.

Pelbagai jenis umpan boleh dilihat digunakan peserta seperti udang hidup, udang kopek, soft plastic dan isi ikan antara yang menjadi pilihan pemancing yang hadir.

Ada yang baling tarik umpan, pancing dasar dan ada yang menggunakan pelampung.

Tidak perlu ambil masa yang lama, satu per satu joran peserta membengkok, menandakan ikan telah merembat umpan yang dihulurkan.

Kedalaman kolam lebih kurang lapan kaki dengan saiz ikan rata-ratanya anggaran 1.5 kilogram ke atas menambahkan lagi adrenalin pemancing.

Saya turut tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan ikan, dengan berbekalkan udang kopek, seekor siakap merah meragut keras.

Tali keluar dengan pantas dari kekili Daiwa Tatula TW yang saya gunakan.

Walaupun drag telah dikunci penuh, namun sukar untuk memberhentikan pecutan ikan secara total. Memang ‘penghuni kolam’ ini kuat-kuat belaka.

Kolam Pancing Fish Garden 2 di Sungai Janggut, Jeram, Selangor menawarkan suasana pancingan yang santai.

Suasana meriah
Riuh suasana di kolam Fish Garden 2 dengan suara pemancing, kiri dan kanan menarik ikan yang galak memakan umpan. Ada yang mendaratkan jenahak, ada pula yang dapat ikan bawal emas.

Semua orang berebut-rebut hendak menaikkan ikan dengan pantas kerana mana-mana peman­cing yang berjaya mendaratkan ikan pada satu jam yang pertama akan dibayar RM10 seekor.

Masa berlalu dengan begitu pantas, secara keseluruhan 210 ekor ikan berjaya didaratkan oleh peserta dalam tempoh satu jam tersebut.

Acara diteruskan dengan cabutan bertuah. Satu per satu pemenang diumumkan, ada yang berjaya memenangi kekili, ada juga yang mendapatkan joran.

Rata-rata pemancing berpuas hati dan gembira dengan acara yang dijalankan pihak kolam pada ulang tahun pertama ini.

‘Kecik’ bos Fish Garden 2
Saya sempat menemu bual pemilik kolam, Khairi Tahir atau lebih dikenali oleh pemancing di sini dengan gelaran ‘Bos Kecik’.

“Apa perasaan bos apabila kolam pancing Fish Garden 2 ini mencapai ulang tahun pembukaannya yang pertama?”

Jawabnya: “Saya tidak menyangka, saya mampu bertahan sampai setahun, pada saya ia satu perkara yang sukar, pelbagai perkara yang saya tempuhi dengan tabah.

Dia juga menyambung, “Terlalu banyak cabaran jika membuka kolam pancing ini, antaranya yang paling kritikal dalam satu kejadian, dua lori ikan saya lepaskan ke kolam dan sejurus selepas itu kesemuanya mati .

“Saya mengalami kerugian hampir RM200,000 bagi proses cuci semula kolam. Namun kerana pe­­ngalaman ini saya belajar dan bangkit semula,” ujarnya dengan perasaan yang berat.

Kecik turut berkongsi pengalaman manis yang mana pada satu ketika dia memancing di kolamnya, ada pemancing yang datang kepada beliau dan bertanya, “abang sudah dapat berapa ekor ikan?”

Dia berseloroh, walaupun sebagai pemilik kolam, tidak perlu sombong walaupun disapa orang yang tidak dikenali, yang penting berikan kemudahan yang terbaik buat pelanggan.

Keistimewaan yang ada pada kolam Fish Gardern 2 adalah pada pemancing yang sentiasa hadir memancing di sini.

Pengunjung kesemuanya memberikan kerjasama yang baik, mesra dan tidak sombong.

Walaupun tidak mengenali satu sama lain, mereka saling membantu, berkongsi ilmu dan mematuhi syarat yang diberikan oleh pihak kolam.

Hadirlah sendiri ke sini dan rasai suasananya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN