MELAKA – Kutipan parkir sebanyak RM3 yang didakwa dikenakan kepada pengunjung di Pantai Klebang sejak minggu lalu sehingga tular dalam media sosial disahkan haram oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, kutipan itu disyaki dilakukan oleh ‘ulat parkir’ berikutan pihaknya tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengenakan bayaran.
“Hasil siasatan mendapati kutipan RM3 itu dilakukan individu yang tidak mempunyai permit atau lesen sah daripada MBMB. Ia bukan caj masuk ke Pantai Klebang seperti yang disangka ramai.
“Anggota penguat kuasa MBMB turun ke lokasi malam tadi bagi menjalankan pemeriksaan, namun tiada kelibat ‘ulat parkir’,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Semalam, tular di media sosial seorang pengunjung berkongsi resit bayaran parkir bernilai RM3 yang didakwa dikenakan di pantai pelancongan itu, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, ia merupakan aduan pertama yang diterima di kawasan pelancongan di Pantai Klebang meskipun isu sama pernah dilaporkan di beberapa lokasi lain sekitar pusat bandar, khususnya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
“Mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan aktiviti kutipan parkir perlu mendapatkan permit dan lesen daripada MBMB.
“MBMB menasihatkan pengunjung supaya tidak membayar caj parkir tanpa lesen yang sah. Pemantauan dan operasi penguatkuasaan akan terus dibuat bagi membanteras aktiviti kutipan parkir haram di kawasan tumpuan pelancong,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














