BERGIAT aktif menjayakan program-program di Kolej Kediaman Kedua (KK2), Universiti Malaya (UM) sejak tahun pertama menjadikan Nur Athirah Natasha Muhamad Redhwan, 20, antara figura penting di kolej tersebut sehingga diberi kepercayaan menggalas pelbagai tanggungjawab besar.
Pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan itu kini diberi peranan besar dalam menjenamakan semula Kem Kecemerlangan Akademik Dan Akhlak (KKAA) atau nama baharunya, Secholian Minds Advancing Research & Technology (SMART).
Dia telah dilantik sebagai Pengarah SMART untuk melakukan pembaharuan terhadap program tersebut yang merupakan salah satu projek terbesar anjuran KK2 dengan bantuan 32 orang ahli.
“Saya bersama ahli pasukan diberi tanggungjawab besar untuk membuat pembaharuan dengan merangka pelbagai acara SMART yang dijangka berlangsung pada April ini dengan penyertaan 120 pelajar daripada tiga buah sekolah di sekitar Lembah Klang.
“SMART adalah program terbesar yang pernah saya terajui dan segala persiapan telah dibuat sejak tahun lalu. Program ini bertujuan menanam minat para pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Sehubungan itu, fokus kami adalah pelajar tingkatan tiga kerana mereka akan memilih aliran pengajian apabila memasuki tingkatan empat,” katanya kepada K-Kampus baru-baru ini.
Tambah Nur Athirah Natash atau lebih dikenali sebagai Athirah, sebelum ini program tersebut dijalankan di sekolah-sekolah, tetapi kini para pelajar datang ke UM.
Jelasnya, langkah itu memberikan keterujaan kepada pelajar apabila diberi peluang menjejakkan kaki ke universiti.
“Menerusi program sehari itu, para pelajar akan menyertai pelbagai acara yang disediakan berkaitan dengan STEM dan ‘hands on’,” ujarnya.
Gadis berasal dari Gombak, Selangor itu memberitahu, sebelum ini dia banyak terlibat dalam program-program belakang tabir anjuran KK2 termasuklah memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Busana Tatarias bagi mempersiapkan peserta yang mewakili kolej tersebut di Festival Seni UM.
“Kerja belakang tabir bersama ahli kumpulan memberi pengalaman berharga kepada saya terutamanya dalam menghadapi konflik dan segala permasalahan yang timbul.
“Apabila diberi tanggungjawab mengetuai sesebuah program, ia membantu saya mengasah kemahiran kepimpinan dan membentuk saya menjadi manusia lebih baik,” ujar anak sulung daripada empat beradik itu.
Selain itu, antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan oleh Athirah sepanjang penglibatan aktif di KK2 adalah menjadi salah seorang Pemudahcara Mahasiswa (PM) untuk menyambut pelajar-pelajar baharu ke kolej tersebut pada Oktober tahun lalu.

“Sejak hari pertama menjejakkan kaki ke KK2, saya sudah menanam niat untuk menjadi PM kerana kagum melihat senior yang bekerja keras membantu pelajar-pelajar memulakan kehidupan baharu di universiti.
“Berjauhan dengan keluarga bukanlah hal yang mudah dan di situlah peranan PM yang turut membawa bersama harapan ibu bapa untuk membantu anak-anak mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.
“Meskipun terpaksa berkorban cuti semata-mata membuat persiapan menyambut adik-adik baharu, saya berasa sangat puas dan mahu melakukannya lagi pada ambilan akan datang,” ujarnya yang bercita-cita bergelar jurutera bioperubatan.
Mengulas mengenai pengajian yang diambilnya sekarang, Athirah memberitahu, kejuruteraan bioperubatan berkaitan dengan pembinaan mesin atau produk digunakan di hospital seperti mesin imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI), sinar-x, prostetik dan ortotik.
“Bioperubatan ada banyak cabang tetapi saya lebih tertarik dengan prostetik dan ortotik iaitu alatan berkaitan tangan serta kaki palsu.
“Semuanya bermula apabila pensyarah kami menjemput seorang individu yang tidak mempunyai kaki dan tangan, namun dengan bantuan alatan prostetik serta ortotik dia dapat bergerak dengan baik.
“Saya berasa tersentuh kerana dengan adanya alatan seumpama itu, kita dapat mengubah hidup seseorang.
“Saya berazam untuk membantu mereka yang memerlukan pada masa akan datang,” tuturnya yang turut aktif dalam aktiviti sukan seperti boling padang, badminton, futsal dan bola jaring.
Dalam menempuhi pahit getir sebagai pelajar, Athirah tidak lekang meminta doa daripada ibunya yang menjadi penguat untuk dia mengejar cita-cita dan mengharumkan nama keluarga.
“Tidak kira apa jua keadaan, saya sentiasa meminta ibu mendoakan saya kerana ia menjadi kekuatan buat saya,” katanya.
Pada masa akan datang, Athirah bercadang mahu meluaskan lagi penyertaan aktifnya di fakulti dan universiti secara amnya.














