MENABUNG merupakan sebahagian daripada perancangan kewangan bijak demi menjamin kesejahteraan keluarga dan kesinambungan pendidikan anak-anak.
Amalan tersebut bahkan mampu membina ekosistem kewangan yang mampan dalam suasana kos sara hidup semakin mencabar.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee, antara pendekatan berkesan termasuklah simpanan pendidikan yang teratur dan sistematik seperti Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
Ujarnya, skim simpanan patuh syariah tanpa sebarang unsur meragukan yang diperkenalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu menyediakan medium selamat dan terjamin buat ibu bapa serta penjaga bagi merancang pendidikan anak-anak.
“Melalui simpanan ini, keluarga dapat merancang kewangan dengan lebih tersusun, menyediakan dana pendidikan anak dan membina tabiat menabung yang konsisten.
“Ia juga menyediakan perlindungan sekiranya berlaku situasi tidak dijangka seperti kehilangan pekerjaan atau kecemasan yang boleh menjejaskan kelangsungan pendidikan,” katanya kepada media baru-baru ini.
Umi Hamidaton berkata, keberkesanan skim simpanan pendidikan itu terbukti dengan insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 yang ditawarkan kerajaan kepada ibu bapa atau penjaga menyimpan ke dalam akaun tersebut.
“Simpan SSPN dijamin selamat sepenuhnya oleh kerajaan tanpa melibatkan sebarang risiko tambahan kepada pendeposit,” katanya sambil menambah pelepasan taksiran cukai yang ditawarkan adalah bukti keberkesanan dasar kerajaan untuk menggalakkan simpanan.
Menurutnya, Simpan SSPN yang dilengkapi perlindungan takaful amat bermanfaat kerana mampu mengurangkan beban kewangan sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan, di samping menyokong pengurusan risiko untuk jangka panjang.

“Simpan SSPN bagi saya merupakan hadiah serta cara untuk menzahirkan kasih sayang dan rasa kebertanggungjawaban ibu bapa terhadap anak-anak.
“Malah, pelepasan cukai yang ditawarkan menjadi satu nilai tambah untuk menggalakkan Simpan SSPN ini,” katanya.
Beliau berpandangan, simpanan awal melalui Simpan SSPN amat penting terutama bagi keluarga yang bercadang menghantar anak melanjutkan pengajian sama ada di dalam atau luar negara.
Menurut Umi Hamidaton, Simpan SSPN jelas dapat mengurangkan kebergantungan kepada bantuan fiskal kerajaan serta meminimumkan potensi hutang akibat kos pengajian yang tinggi.
“Ibu bapa juga diminta agar lebih cakna terhadap kepentingan amalan menabung sejak awal.
“Peningkatan yuran pengajian, kos bahan pengajaran dan pembelajaran serta kos sara hidup yang semakin tinggi dijangka memberi tekanan kewangan besar kepada generasi akan datang sekiranya tiada perancangan rapi dilakukan,” katanya.
Katanya, matlamat utama amalan menabung terutamanya melalui Simpan SSPN adalah untuk mengelakkan anak-anak menanggung beban hutang jangka panjang selepas tamat pengajian akibat pinjaman pendidikan.
“Amalan menabung oleh ibu bapa juga menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak dalam aspek pengurusan kewangan.
“Di samping itu, ia dapat membentuk nilai disiplin yang tinggi serta sikap bertanggungjawab terhadap masa depan pendidikan mereka,” katanya.














