Kemahiran seni lukis Darra itu tidak disia-siakan apabila dia dihantar mengikuti kelas seni bersama Jaja Yusof iaitu salah seorang anak kepada legenda pelukis hebat negara, Allahyarham Mohd. Yusof Ismail atau Yusof Gajah.

Lukisan kucing Darra Dalia anak autistik cepat laris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANPA menggunakan barisan aksara, Darra Dalia Mohd. Nor Azim sebaliknya menjadikan kanvas dan coretan akrilik sebagai medium untuk berinteraksi.

Di sebalik kekangan komunikasi dan bersosial kerana autisme, kanak-kanak berusia 11 tahun itu menemui solusi tersendiri untuk meluahkan perasaan, sekali gus menemukan ‘dunia’ dalam hidupnya.

Artis muda neurodivergent itu menjadikan haiwan kesayangannya iaitu kucing sebagai inspirasi menghasilkan lukisan yang bukan sahaja bertindak sebagai terapi, tetapi ekspresi diri dan kestabilan emosi.

Menurut ibunya Nolin Teh, sejak berusia dua dan tiga tahun, Darra sering menghabiskan masa melukis di atas kertas.

“Sewaktu kecil, Darra didiagnosis dengan autisme ringan, jadi dia anak istimewa. Memang tidak banyak bercakap dan bersosial melainkan banyak menghabiskan masa melukis.

“Kucing merupakan jawapan Darra setiap kali ditanyakan suka melukis apa. Jadi, saya membiarkan dia melahirkan suara ekspresi dalam pemikiran serta perasaan yang tidak terungkap menerusi seni naif,” katanya kepada CitaRasa.

Kemahiran seni lukis Darra itu tidak disia-siakan apabila orang tuanya menghantar anak mereka mengikuti kelas seni bersama Jaja Yusof iaitu salah seorang anak kepada legenda pelukis hebat negara, Allahyarham Mohd. Yusof Ismail atau lebih dikenali sebagai Yusof Gajah.

“Pada peringkat awal, karya Darra banyak dipengaruhi oleh gaya naif dan intuitif. Seiring perkembangan masa, keyakinan dan keupayaan visualnya semakin matang, membolehkannya melukis secara terus di atas kanvas tanpa lakaran awal.

“Daripada subjek haiwan, khususnya kucing, karya Darra kini berkembang ke arah komposisi floral yang lebih terbuka dan ekspresif,” kata Nolin lagi.

Keseriusan Darra melukis semakin terserlah ketika fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara sekitar 2020.

Sejak itu bakatnya semakin menyerlah dengan menyertai pelbagai pameran seni dan lebih membanggakan hasil lukisannya banyak terjual dan mendapat perhatian peminat tersendiri.

Bahkan Darra juga mencatat kejayaan dalam Malaysia Book of Records menerusi penyertaannya dalam Largest Mini Artwork Exhibition anjuran FPC Foundation pada tahun lalu.

Karya yang terjual dalam pameran bersama rakan autistik itu kebanyakannya berkisar tentang Darra dan kucing kesayangan.

Selain aktif menyertai pameran dan menjual karya-karyanya, kebanyakan hasil seni Darra turut dipamerkan di platform media sosial Instagram @senidarra.

“Biasanya, jika menyertai pameran, lukisan Darra paling awal laris. Perkara ini membuatkan kami yakin dengan kemahiran dia.

“Seiring pertambahan usia, Darra juga mula meneroka lukisan flora. Jadi ada beberapa siri flora Darra turut menjadi perhatian.

“Jika Darra tidak menyertai pameran, semua proses seni dia saya arkibkan di @senidarra dan dia kini memiliki pengikut serta pembeli tersendiri menerusi platform ini,” katanya.

Dalam usaha memperluas sokongan terhadap perjalanan seni Darra, sekumpulan mahasiswa Sarjana Pengurusan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut telah tampil membantu mengetengahkan bakat Darra sebagai artis muda neurodivergent.

Inisiatif tersebut bukan sahaja memupuk kesedaran masyarakat terhadap kebolehan artis neurodivergent, malah membantu Darra menjana pendapatan melalui jualan karya lukisannya.

Tidak hanya sekadar sokongan kewangan, tetapi langkah itu juga merupakan pengiktirafan terhadap bakat serta ‘suara’ Darra yang dizahirkan melalui seni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN