fbpx
Pelbagai aktiviti lasak seperti gelongsor tali boleh dicuba pengunjung di Putrajaya Wetland Adventure Park.

Mencipta ‘momen lasak’ keluarga di cuti sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA bukan sahaja dikenali sebagai destinasi pentadbiran tetapi juga gaya hidup dan rekreasi.

Lokasi seperti Putrajaya Wetland Adventure Park (PWAP) dan Pusat Rekreasi Putrajaya menyajikan pelbagai aktiviti mencabar untuk dicuba oleh seluruh lapisan masyarakat.

Cuti sekolah yang sedang berlangsung ini patut untuk diluangkan seisi keluarga di lokasi percutian sebegini.

Gelongsor tali, leap of faith, abseiling atau wall climbing menjadi antara aktiviti lasak yang boleh dilakukan di PWAP.

Aktiviti-aktiviti lain seperti berdayung dan memanah juga menanti di Pusat Rekreasi Putrajaya, Presint 1.

Sempena cuti persekolahan ini, PWAP dan Pusat Rekreasi Putrajaya menawarkan pelbagai pakej aktiviti menarik terutama buat kanak-kanak sekali gus menikmati momen menarik bersama keluarga.

Program berlangsung enam hari bermula semalam menawarkan pelbagai aktiviti menarik dari harga RM70 hingga RM90.

Menurut Pengurus Rekreasi PWAP, Mustaffa Mustaqim Muhamat, aktiviti mereka memfokuskan pendidikan dan kesedaran alam sekitar.

Di samping itu, mereka turut berkongsi pengetahuan tentang ekosistem hidupan liar di sekitar Wetland Putrajaya.

“Setiap hari bermula 3 Januari 2026 kita menyediakan pelbagai aktiviti menarik dan berbeza sesuai dengan peserta berumur tujuh hingga 17 tahun yang dilangsungkan di Pusat Rekreasi Putrajaya.

“Kita bermula dengan aktiviti Nature Explorer sebelum dilanjutkan pada hari berikutnya Water Adventure Day dan seterusnya aktiviti sukan outdoor.

“Kemudian, kita beralih ke aktiviti Mini Survival Camp seterusnya Climb & Abseiling Adventure Day dan akhir sekali Archery Fun Day yang bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang,” katanya kepada CitaRasa.

Aktiviti yang ditawarkan sesuai untuk pelbagai peringkat usia.

Meskipun dilengkapi dengan kakitangan dan pasukan keselamatan terlatih, namun peserta berusia 10 tahun ke bawah perlu hadiri dengan pengawasan penjaga atau ibu bapa.

Mengulas lanjut mengenai PWAP, Mustaffa berkata, lokasinya yang terletak di kawasan alam semula jadi dan berhampiran dengan bandar menjadikan ia sebagai destinasi menarik buat pengunjung untuk menikmati percutian pendek bersama insan tersayang.

“Musim cuti sekolah ini memang sesuai untuk keluarga, pelajar mahupun pengunjung dewasa ingin melakukan aktiviti mencabar diri dalam suasana selamat dan menyeronokkan.

“Setiap aktiviti dikendalikan oleh kru profesional yang berpengalaman, manakala peserta akan dilengkapi peralatan keselamatan dan dipantau ketat oleh kakitangan kerana keselamatan pengunjung adalah keutamaan kami,” katanya.

Tambah Mustaffa, perasaan takut merupakan hal biasa terutama apabila ingin mencuba sesuatu perkara baharu. Bagaimanapun semua itu salah satu proses pembelajaran dalam membentuk jati diri.

“Bagi mengurangkan rasa takut, boleh datang secara berkumpulan sama ada bersama keluarga atau rakan-rakan. Semangat berkumpulan itu dapat mengurangkan rasa takut dan tingkatkan rasa seronok,” ujarnya.

Bagi memastikan keselesaan pengunjung, PWAP menyediakan kemudahan asas seperti loker simpanan, surau, gazebo, tandas dan jualan minuman sejuk bagi menghilangkan dahaga setelah melakukan aktiviti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN