PETALING JAYA – Seramai 36 jemaah umrah Malaysia di Madinah yang masih belum mempu-nyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia esok, mendesak pihak agensi terlibat bertanggungjawab supaya menyegerakan urusan tersebut.
Wakil jemaah, Ahmad Fauzi Abd. Rahman, 58, berkata, kesemua mereka tetap mahu pulang pada hari berkenaan memandangkan banyak perbelanjaan tambahan telah dikeluarkan termasuk bayaran penginapan hotel.
“Hari ini (semalam) kami perlu daftar keluar hotel pukul 2 petang (waktu tempatan). Kami pakat adik-beradik usaha untuk tambahkan dua hari lagi sebab tak ada pilihan. Sebelum ini kami ambil tiga bilik, kali ini mungkin dikurangkan kepada dua bilik,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Ahmad Fauzi berkata, selepas laporan berita dikeluarkan di Kosmo! kelmarin, pihak Konsulat Malaysia di Jeddah ada menghubungi mereka selain persatuan mutawif di sana sedia menghulurkan bantuan.
“Kami panjangkan artikel di Kosmo! kepada persatuan mutawif yang relevan dan mereka cuba untuk bantu dari segi penempatan dan makanan. Pihak Konsulat di Jeddah juga ada menelefon kami bertanyakan status.
“Ada juga yang tawarkan untuk ke Mekah semula, namun bagi kami ia agak sukar nak ke sana. Persatuan mutawif juga mengingatkan kami untuk bertanyakan kepada agensi pada 2 Januari berhubung tiket tersebut,” katanya.
Ahmad Fauzi mendakwa, pihak konsulat juga dapat menghubungi wakil agensi yang bertanggungjawab berhubung kes dihadapi mereka.
“Dia (wakil agensi) mengaku tersalah ‘quotation’ (sebutharga) untuk pakej umrah kami. Dia dakwa telah maklumkan mengenai risiko. Dia pun ada mesej kami.
“Selain itu, ada daripada kami yang sepatutnya pulang awal untuk bekerja dan hadir kuliah. Pihak majikan dan pensyarah juga telah dimaklumkan situasi kami di sini yang belum mendapat tiket penerbangan,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda hidup seperti nomad apabila dikatakan terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah beberapa kali, berikutan pihak agensi didakwa gagal membuat tempatan awal.
Bahkan, lima daripada jemaah itu yang sepatutnya kembali ke Malaysia pada 30 Disember, tidak dapat berbuat demikian berikutan tiket didakwa belum ditempah oleh pihak agensi, manakala baki yang lain pulang ke tanah air pada 3 Januari juga belum mendapat tiket tersebut.
Ahmad Fauzi sebelum ini dipetik berkata, kumpulan tersebut merupakan keluarganya terdiri daripada adik-beradik, anak-anak buah serta ibu saudara isterinya dan mereka ke Tanah Suci menggunakan agensi dari Pulau Pinang.
















