LIVERPOOL – Pemain sayap lincah Liverpool, Federico Chiesa dilaporkan terbuka kembali menyarung jersi bekas kelabnya, Juventus dalam usaha untuk mencerahkan peluangnya beraksi di Piala Dunia 2026.
Juventus juga berminat untuk mendapatkan pemain berusia 28 tahun itu secara pinjaman dalam jendela perpindahan ketika ini bagi menguatkan jentera serangan di bawah bimbingan Luciano Spalletti yang menggantikan Igor Tudor pada Oktober lalu.
Menurut laporan akhbar Itali, Gazzetta dello Sport, gergasi Itali itu tiada masalah untuk membawa pulang Chiesa yang sebelum ini meninggalkan Turin ke Anfield dengan yuran perpindahan berjumlah £12.5 juta (RM68.25 juta) termasuk bonus pada Ogos 2024.
Difahamkan, Spalletti tiada masalah untuk memberikan lebih banyak minit permainan kepada Chiesa bagi memikat hati ketua jurulatih Itali, Gennaro Gattuso menyenaraikannya untuk aksi playoff Piala Dunia 2026 pada Mac nanti.
Berdasarkan situasi semasa, Chiesa kurang mendapat peluang apabila hanya tujuh kali berada dalam kesebelasan utama daripada keseluruhan 32 perlawanan sepanjang tempoh 18 bulan bersama Liverpool.
Meskipun musim ini Chiesa menunjukkan impak positif dengan dua gol dan tiga bantuan jaringan daripada 18 perlawanan yang majoritinya bermula di bangku simpanan, namun ia masih belum mampu untuk menambat hati pengurus Liverpool, Arne Slot.
Segalanya kini terpulang kepada pengurusan tertinggi Liverpool sama ada mahu melepaskannya keluar secara pinjaman apabila menerima tawaran rasmi daripada Juventus dalam masa terdekat.
Buat masa ini, Liverpool kekurangan pemain selepas dua penggempur, Alexander Isak mengalami kecederaan, manakala Mohamed Salah masih mempunyai komitmen bersama Mesir dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON). – AGENSI














