PETALING JAYA – Menepis serkap jarang, pelakon Rita Rudaini menyelar seorang individu yang mempertahankan bekas suaminya, Aidil Zafuan atas keyakinan bahawa lelaki terbabit tidak pernah culas membayar nafkah dua anak.
Rita atau nama lengkapnya, Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 49, berkata, Aidil diharap dapat menyertakan resit pembayaran sebagai bukti tanggungjawab memberikan nafkah sebanyak RM3,000 sebulan dilunaskan seperti didakwa.
“Tolonglah beri resit bayaran. Semua orang nak tengok yang berhutang skip (langkau) bayar tu berapa bulan?
“Tolonglah tunjuk. Netizen perlu tahu,” katanya menerusi hantaran di platform Threads.
Pelakon drama Simbiosis itu turut memuat naik semula hantaran pemilik akaun yang berkongsi tangkap layar kenyataan dibuat bekas suaminya mengenai isu nafkah.
Bahkan, dia juga tetap dengan pendirian bahawa jumlah diberikan bekas ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak mencukupi untuk perbelanjaan dua anak.
“RM3,000 pun sebab gaduh di mahkamah. Boleh bayar apa untuk anak-anak? Duit tempat perlindungan anak-anak pun tak lepas RM3,000 itu.
“Jom lawan di mahkamah. Ada berani?,” ujarnya.
Terdahulu Rita dan Aidil mendirikan rumah tangga pada 2008, namun mereka disahkan bercerai lima tahun kemudian.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Airit Rayyan dan Airit Qaqa Arjuna.
Pada 2017 tuntutan nafkah anak, mutaah dan idah Rita diputuskan mahkamah yang memerintahkan lelaki terbabit membayar RM3,000 sebulan bermula Januari 2015, manakala bagi mutaah, dia diperintah membayar RM30,000 pada Oktober 2015.
Begitupun, isu nafkah masih terus diperjuangkan Rita yang mendakwa perkara dibangkitkan adalah demi hak dua puteranya. – KOSMO! ONLINE














