fbpx
Pika menjalankan pelbagai perniagaan ketika belajar kerana itu minatnya.

Muda-muda dah pandai cari duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ketika kebanyakan remaja sedang menikmati usia muda dan masih bergantung kepada bantuan keluarga, gadis yang berasal dari Sungai Besar, Selangor, ini memilih laluan berbeza sejak berumur 16 tahun.

Dari asrama sekolah menengah sehinggalah ke kampus universiti, Nurrurrafiqah Badron, 23, atau dikenali sebagai Pika, konsisten membina sumber pendapatan sendiri walaupun bergelar sebagai pelajar sepenuh masa.

Dia yang merupakan anak bongsu daripada 11 beradik itu berkata, demi minatnya dalam dunia perniagaan, dia tidak mahu membebankan ibu bapanya yang sudah berusia.

Kata Pika, bapanya Badron Mad Maa’mun, 76, sebelum ini bekerja sebagai petani kelapa sawit, namun kini sudah tidak be­kerja lagi berikutan faktor umur manakala ibunya, Normah Sarijan, 65, seorang suri rumah.

Kini Pika merupakan penuntut semester akhir Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Perniagaan, Universiti Teknologi Mara, Jengka, Pahang mahu memastikan pembelajarannya di universiti bebas pinjaman dan mempunyai simpanan RM30,000 sebelum berumur 25 tahun.

“Semuanya bermula sejak saya berumur 16 tahun dan memilih untuk tinggal di asrama di Sabak Bernam. Saya mula buat bisnes jual chocojar.

“Saya mula kumpul duit dan terus simpan ke Tabung Haji selain merancang untuk buat lesen motosikal dan kereta sendiri. Masuk universiti masa diploma pun saya berniaga tapi cuma pada cuti semester sebab nak fokus belajar juga.

“Sebelum masuk ijazah, saya kerja di sekolah swasta untuk pastikan saya tamat belajar dengan bebas pinjaman juga. Syukur, saya terus ke semester dua dan kini di semester akhir, saya ‘pulun’ habis-habisan cari duit sampai sekarang,” katanya.

Disoal tentang fokusnya terhadap pelajaran, Pika berkata, dia sudah biasa dengan kehidupan begitu dan sekali gus tidak mengganggu perjalanannya sebagai pelajar.

“Kalau suka tengok orang berniaga, cuba buat sebab sekurang-kurangnya anda tahu betapa peritnya cari duit sendirian selain tak harapkan pinjaman semata-mata,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN