GAYA sederhana dan praktikal menjadi pilihan Shasha Abedul sejajar dengan keperibadiannya yang mementingkan keselesaan berbanding penampilan berlebihan.
Malah, pelakon filem Malam Terlarang itu turut memberitahu tidak terlalu terikut-ikut dengan arus trend semata-mata untuk dilihat bergerak seiring dengan pencinta-pencinta fesyen lain.
Bagaimanapun, sebagai seorang selebriti, Shasha tetap mementingkan soal gaya terutama saat tampil ke acara rasmi mahupun ketika perlu berhadapan khalayak atas tuntutan kerja.
“Jika bercakap tentang gaya harian, saya lebih selesa mengenakan seluar jean, kemeja lengan panjang (dengan potongan besar atau oversized) dan instant shawl (selendang segera) bersama kasut sneakers.
“Kalau ada acara tertentu saya akan tampil dengan gaya sesuai kehendak majlis seperti busana tradisional, modest atau tema tertentu yang pastinya sebagai simbolik menghormati majlis,” katanya saat berkongsi dengan CitaRasa tentang pilihan gayanya.

Keselesaan dalam bergaya itu sudah pasti menjadi pilihan, tetapi Shasha mengambil kira soal corak dan warna agar pakaian dipakai kelihatan sesuai dan tidak terlalu ‘aneh’.
Katanya, skirt berpotongan A yang ditambah dengan corak turut dipadankan bersama baju kosong agar imejnya kelihatan seimbang dan tidak keterlaluan.
Dalam penampilannya yang tidak menonjolkan gaya pada tudung, Shasha akan memberi tumpuan kepada kasut sebagai elemen penarik sama ada menerusi pilihan warna atau rekaan.
“Pilihan warna itu bergantung kepada mood, tetapi apa yang boleh dikatakan secara peribadi saya banyak memiliki pakaian berwarna hitam.
“Bagi saya corak pada pakaian itu penting, bukan saja menjadi refleksi diri kita. Bagaimanapun ia perlulah tidak terlalu kelihatan sarat.
“Selalunya saya akan pilih sama ada baju atau tudung yang bercorak. Jika baju saya bercorak, maka tudung lebih senang dibiarkan kosong dan begitu juga sebaliknya,” katanya yang sudah lebih setahun tampil berhijab.
Berkongsi cerita tentang awal penghijrahannya yang kini manis bertudung, Shasha akui selesa mengenakan selendang segera kerana mudah digayakan dan menjimatkan masa.
Shasha bagaimanapun mengakui tetap setia dengan gaya sebegitu kecuali sesekali akan mengubahnya mengikut keperluan.

“Waktu awal bertudung dahulu, bagi saya selendang segera adalah pilihan paling mudah, cepat dan sederhana. Walaupun ringkas, tetapi gaya sebegitu tetap mempunyai tarikan tersendiri yang membuatkan saya senang untuk pakai sampailah sekarang,” tutur Shasha.
Kesetiaannya yang utuh kepada pemakaian selendang segera bagaimanapun tidak seiring dengan pilihan perhiasan kerana pelakon drama Nikmat Hanya Sesaat itu kini selesa memilih penampilan yang ringkas.
“Sebelum berhijab dahulu memang benar saya suka memakai pelbagai perhiasan rantai, cincin atau subang. Tetapi selepas berhijab ini apa yang ada cuma rantai, cincin kahwin dan tidak terlalu banyak memakai perhiasan.
“Beralih kepada soal idola dalam bergaya, Shasha tanpa berselindung mengagumi pesona aktres Sharifah Rose dan pempengaruh Camilia Noh.
Menurutnya, kedua-dua wanita itu memiliki aura hijabista tersendiri selain menjadi rujukannya dalam menentukan tatarias tudung.
“Kalau bercakap tentang individu dengan gaya bertudung, saya sangat suka dengan imej Sharifah Rose yang kelihatan urban tetapi minimalis.
“Tetapi apa yang paling dekat dengan jiwa saya ialah pempengaruh Camilia Noh. Gaya street hijabis yang diketengahkan boleh dikatakan serasi dengan personaliti saya.
“Menerusi apa yang dikongsikan di media sosial, penampilannya sangat ringkas, santai dan dia juga bukan seorang yang gemar kepada kasut tumit tinggi, sama seperti saya.
“Bagi saya, pesona gaya sebegini lebih realistik dan mudah diaplikasikan dalam kehidupan seharian selain kena dengan jiwa,” katanya.
















