PETALING JAYA – Rumah tangga didakwa bergolak, pelakon Risteena menafikan dakwaan terbabit selain menegaskan tidak akan berkongsi sebarang isu peribadi dalam media sosial.
Pemilik nama lengkap Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 36, turut mengingatkan agar mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya menggunakan perkataan cerai sekiranya perkara tersebut tidak berlaku.
“Saya dan suami adalah orang yang matang. Kami tidak pernah berkongsi tentang masalah rumah tangga dalam media sosial dan tak akan pernah sampai bila pun.
“Jadi, segala hantaran dalam media sosial tidak ada kena-mengena dengan masalah rumah tangga.
“Cerai bukan ayat main-main, jadi jangan suka hati tulis atau sebut sekiranya tidak berlaku perceraian atau pergolakan,” katanya dalam InstaStory.
Tambah pelakon drama Girlfriend Kontrak itu, hantaran suaminya yang juga pelakon Isa Khan hanyalah petikan lirik lagu yang tidak membawa maksud tersirat.
“Saya dah tanya suami, ayat itu hanya lirik lagu dan ‘quotes’ kandungan dalam TikTok.
“Saya rasa tak penting untuk terangkan pada sesiapa pun. Kami sibuk uruskan bisnes.
“Jadi tak perlu nak tanya lagi. Elakkan fitnah dan cakap yang baik-baik sahaja,” jelasnya lagi.
Risteena turut meminta agar segelintir pihak menghentikan spekulasi dan memilih untuk menyebarkan perkara baik sahaja.
“Terlalu banyak benda penting yang perlu kita baca dan ambil tahu.
“Kisah rumah tangga orang bukan satu benda penting yang kalian perlu ambil tahu pun sebenarnya.
“Hidup ini hanya sementara. Sibukkan lah diri mencari perkara yang lebih penting di dunia,” tuturnya.
Semalam, desas-desus keretakan rumah tangga Risteena dan Isa kembali hangat diperkatakan apabila lelaki itu seolah-olah memberi bayangan bahawa dia kini sedang melalui fasa kehidupan bersendirian.
Kedua-dua mereka juga kini dilihat menyahikut akaun media sosial masing-masing.
Tahun lalu, khabar angin yang sama pernah timbul selepas mereka saling menyahikut dalam Instagram.
Bagaimanapun Risteena tampil menyelar dakwaan tersebut manakala suaminya memuat naik perkongsian ucapan rindu sekali gus melenyapkan spekulasi terbabit.
Isa dan Risteena mendirikan rumah tangga pada 12 Mac 2021 namun, pasangan itu belum dikurniakan cahaya mata. – KOSMO! ONLINE














