PETALING JAYA – Ulama terkemuka yang juga seorang pendidik, pendakwah dan juga pemimpin Tarekat Ahmadiah Idrisiah di Asia Tenggara, Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin berjaya meraih pengiktirafan tertinggi selepas membentangkan tesis Ijazah Doktor Falsafah (PhD) beliau di Fakulti Sastera dan Sains Kemanusiaan , Universiti Mohammed V, Rabat di Maghribi baru-baru ini
Beliau yang juga Pengerusi Kolej Islam As Sofa membentangkan tesis yang bertajuk Imam Ahmad bin Idris al‑Maghribi dan Usahanya dalam Ilmu Islam serta Penyebaran Nilai‑Nilai Tasawuf – Satu Kajian Kritikal.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, tesis ini menonjolkan asas ilmiah yang kukuh, pendekatan akademik tradisional yang digabungkan dengan pengalaman rohani, analisis mendalam mengenai pemikiran dan pengaruh tokoh sufi terkenal dari Maghribi.
Ia dibentangkan dalam satu acara akademik ini berlangsung dalam suasana ilmiah yang tinggi dan dihadiri oleh ahli fakulti universiti, penyelidik, dan peserta dari Malaysia serta Maghribi yang berminat dalam kajian tasawuf dan pemikiran Islam.

Sesi perbincangan diketuai oleh Dekan Fakulti, Dr. Zakarya Bourhim, bersama beberapa tenaga pengajar pakar yang memuji ketelitian metodologi, analisis yang mendalam dengan nilai tambah penyelidikan Muhammad Fuad.
“Jawatankuasa penilai memberikan penghargaan tertinggi, termasuk kebenaran untuk menerbitkan tesis tersebut, sebagai pengiktirafan terhadap nilai akademik dan kepentingan ilmiahnya.
“Kejayaan ini turut menegaskan peranan Universiti Mohammed V sebagai pusat utama dalam menarik penyelidik dan ilmuwan dari seluruh dunia serta mengukuhkan hubungan kerjasama akademik antarabangsa,” jelas kenyataan tersebut.
Pembentangan viva voce yang berlangsung hampir tiga jam itu mempamerkan keteguhan metodologi, keberanian akademik, dan dedikasi Muhammad Fuad dalam meneliti fakta kehidupan serta Imam Ahmad dengan penuh amanah.
Panel penilai kagum dengan usaha beliau membuka ruang pengkajian tokoh ulama besar Maghribi, yang terkenal di Asia tetapi kurang dikenali di tanah kelahirannya sendiri.
Kejayaan ini dicapai dengan pencapaian tiga martabat utama pengiktirafan tertinggi Musyarraf Jiddan di samping tesis tersebut disyorkan untuk dicetak dan diterbitkan sebagai rujukan ilmiah yang sah dan bernilai.

Selain itu, disarankan diterjemahkan ke enam bahasa utama dunia: Bahasa Inggeris, Perancis, Itali, Sepanyol, Portugis, dan Jerman, bagi meluaskan manfaatnya ke peringkat antarabangsa.
“Kejayaan luar biasa ini bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi juga hasil kesungguhan, ketekunan, dan rasa tanggungjawab terhadap amanah ilmu.
“”Ia menjadi teladan bagi seluruh pelajar Kolej As Sofa bahawa jalan ilmu memerlukan kesabaran, pengorbanan, dan keberanian mempertahankan kebenaran,” jelasnya.
Melalui pengiktirafan tersebut, Muhammad Fuad bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di persada akademik antarabangsa, tetapi juga meletakkan contoh cemerlang bagi generasi muda dalam mengejar ilmu dan penghayatan nilai-nilai tasawuf secara ilmiah dan berdisiplin.














