fbpx
SEORANG wanita maut dan suaminya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 28, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Kulai hari ini. Foto IHSAN POLIS

Isteri teman suami hantar barang maut nahas tiga kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULAI – Rutin harian seorang isteri menemani suaminya yang bekerja sebagai penghantar barangan berakhir apabila wanita itu maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 28, Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 9.15 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun yang membonceng motosikal Honda RS-X disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, ketika kejadian pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari arah Kulai menghala ke Senai untuk menghantar barang.
“Motosikal dinaiki pasangan itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar motosikal Yamaha Y15ZR serta sebuah kereta Toyota Camry yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, penunggang motosikal Honda RS-X dan Yamaha Y15ZR dikejarkan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, di sini untuk mendapatkan rawatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI