PETALING JAYA – “Kenapa penonton diam? Sebab Gen Z ke ramai tak hafal lagu Senario.”
Itu reaksi netizen selepas melihat penonton kumpulan pelawak Senario yang mengikuti aktiviti nyanyian jalanan atau busking di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Menerusi hantaran pengguna Threads, @Iftihana_z, mempersoalkan reaksi penonton seolah-olah tidak menghafal lagu ‘Cari Tapak’ yang dinyanyikan kumpulan pelawak ikonik itu.
“Kenapa penonton diam? Sebab Gen Z ke ramai tak hafal. Kenapa tak tahu? Kami dah tua-tua ini jarang lepak di Bukit Bintang,” katanya.
Video berdurasi satu minit 23 saat itu turut memaparkan rata-rata penonton hanya merakam dan menyanyi bersama kumpulan pelawak itu selain cuba memeriahkan suasana.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi termasuk rata-rata mempertahankan Gen Z yang dikatakan hafal lagu Senario.
“Aku Gen Z tapi hafal semua lagu Senario ya. Mungkin itu generasi milenial yang dah mengantuk sebab itu tak meriah sangat,” komen @Nadiahyusof_.
“Bukan salah Gen Z. Ramai yang takut nak datang Bukit Bintang sebab banyak kes penyeluk saku. Dulu- dulu tenang saja kalau nak lepak situ,” komen @Itissiteeha.
“Generasi yang satu zaman dengan Senario sedang berjuang anak dah sekolah, nak bayar rumah, kereta dan komitmen yang lain. Tak dapat nak ikut busking,” komen @Ainulamri. – KOSMO! ONLINE














