PETALING JAYA – Sebanyak 88.89 peratus projek sambungan sumber serta bekalan air berjaya disiapkan lebih awal atau mengikut jadual, sekali gus membuktikan kecekapan pelaksanaannya secara terancang, berfokus dan berdisiplin.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia turut menunjukkan kecekapan tadbir urus dan kesungguhan kerajaan dalam memastikan manfaat segera sampai kepada rakyat.
“Pencapaian ini mencerminkan iltizam berterusan Kerajaan Madani dalam memperkukuh prasarana air negara, menjamin kebajikan rakyat serta memastikan tiada komuniti terpinggir daripada menikmati kemudahan asas yang berkualiti.
“Kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap langkah pembangunan negara, Insya Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan akses kepada bekalan air bersih, selamat dan berterusan bukan sekadar keperluan, malah merupakan hak asas setiap rakyat yang wajib dipelihara.
“Berteraskan prinsip keadilan sosial dan kesejahteraan bersama, kerajaan terus memperkukuh komitmen ini melalui pelaksanaan dasar dan projek yang berimpak tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














