SEBERANG PERAI – Sepasang suami isteri dari Penaga, Butterworth di sini bagaikan berjanji untuk sehidup semati apabila kematian mereka hanya berselang tujuh jam pada Ahad lalu.
Syed Abu Bakar Syed Omar, 75, meninggal dunia pada pukul 2 pagi setelah menderita kanser hati, manakala isterinya, Marina Awang, 60, pula menyusul pukul 9 pagi ketika jenazah suaminya mahu dimandikan.
Anak saudara Syed Abu Bakar, Wan Sahalina Mohamed Rabu, 42, berkata, pemergian ibu dan bapa saudara pada hari sama mengejutkan ramai pihak.
Katanya, sebelum ini arwah bapa saudaranya bekerja sebagai pengawal keselamatan di Persiaran Gurney berulang-alik dari Penaga ke pusat bandar setiap hari dengan menunggang motosikal.
“Namun, tahap kesihatannya semakin merosot akibat kanser hati. Jadi arwah berhenti kerja dan berehat di rumah selain memelihara kucing bagi mengisi masa lapang.
“Ibu saudara saya (isteri arwah) menerima rawatan di Hospital Kepala Batas dan Hospital Seberang Jaya akibat komplikasi kencing manis sebelum dibenarkan pulang ke rumah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

di Tanah Perkuburan Masjid Bakar Kapor, Penaga, Butterworth pada Ahad lalu.
Menurut wanita itu, pasangan suami isteri tersebut mempunyai seorang anak, Sharipah El-Zein Sofea, 25, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan.
Katanya, walaupun bergelar insan istimewa, Sharipah El-Zein Sofea cekal menjaga kedua-dua ibu bapanya dan menguruskan rawatan mereka.
Wan Sahalina berkata, sebelum meninggal dunia, ibu saudara kelihatan lemah dan hanya terlantar.
“Arwah (Marina) disedari meninggal dunia ketika jenazah suaminya mahu dimandikan. Kami (keluarga) yang berada di situ benar-benar terkejut kerana tidak menyangka arwah akan menyusul secepat itu.
“Saya sendiri tidak tahu mengenai kebaikan yang mereka lakukan, namun selepas kisah (kematian) ini tular, ramai yang mendoakan kesejahteraan kedua-dua mereka.
“Terima kasih kepada orang ramai yang memberikan ucapan takziah. Alhamdulillah urusan pengebumian mereka berdua dipermudahkan,” katanya.

Jenazah pasangan suami isteri itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Bakar Kapor, Penaga pada Ahad lalu.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai kisah sepasang suami isteri yang meninggal dunia dunia hari sama yang dianggap jarang berlaku.
Pada awalnya, liang lahad digali untuk arwah Syed Abu Bakar sebelum kubur kedua digali bersebelahan buat isteri tercinta.
Rata-rata pengguna media sosial mengucapkan takziah kepada keluarga pasangan warga emas tersebut.
“Salam takziah buat keluarga arwah. Semoga Allah permudahkan segalanya. Itu namanya sehidup semati. Allahuakbar setia kasih sayang suami isteri ini,” tulis Hawa Wa.
“Tuhan tadbir sekalian alam. Alhamdulillah Allah tunjukkan erti kasih sayang,” kata Ramli Omar.














