fbpx
HARIMAU Malaya berpeluang untuk bertemu pasukan yang memiliki standard yang lebih baik selepas ANL bakal dianjurkan buat kali pertama.

ANL mungkin tuah buat Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD Harimau Malaya berpeluang untuk berdepan gergasi bola sepak benua Asia selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) meluluskan kejohanan Liga Negara-Negara Asia (ANL) yang akan dianjurkan buat pertama kali dalam masa terdekat.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi menyambut baik keputusan AFC untuk memperkenalkan kejohanan baharu yang boleh memberi nilai tambah terhadap kualiti bola sepak di rantau ini.

Kata Mohd. Yusoff, ini adalah peluang untuk skuad kebangsaan bersaing dengan lebih kompetitif berbanding mengamalkan tradisi seperti melakukan aksi persahabatan antarabangsa seperti sebelum ini.

“ANL akan beri ruang buat pasukan bersaing di peringkat Asia. Seperti sedia maklum, sebelum ini kita atur aksi persahabatan pada kalender antarabangsa dan tiada pilihan apabila sering bertemu dengan pasukan yang memiliki jurang ranking yang ketara.

“Namun, dengan adanya ANL, kita dapat bertemu dengan pasukan yang memiliki standard sama dan mungkin persaingan akan jadi lebih kompetitif.

“Lebih menarik, ia juga membuka peluang kita untuk menentang pasukan gergasi seperti Korea Selatan atau Jepun.

“Sekarang kalau kita pelawa mereka untuk mereka adakan aksi persahabatan, pasti mereka tidak mahu tetapi dengan wujudnya kejohanan ini, tiada yang mustahil,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Pada awal minggu ini, AFC dalam satu kenyataan optimis kewujudan ANL dapat meningkatkan nilai komersial serta kualiti bola sepak di peringkat rantau Asia sekali gus memberi manfaat pembangunan 47 negara di bawah naungannya.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan AFC mengikut jejak Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) yang telah memperkenalkan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) sejak 2018.

Ketika ini, AFC hanya mempertaruhkan Piala Asia setiap empat tahun sekali sebagai satu-satunya kejohanan elit dengan edisi seterusnya dijadualkan berlangsung di Arab Saudi pada 2027.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN