PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah membuat laporan polis berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya seperti yang disarankan oleh Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC).
Laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan badan induk itu sentiasa komited untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, tindakan ini adalah bagi memenuhi tuntutan dan saranan IIC yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.
“FAM hari ini telah membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya berhubung isu dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya. Tindakan ini dibuat selaras dengan syor IIC yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan mereka baru-baru ini.
“FAM komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Langkah ini mencerminkan komitmen FAM terhadap integriti, ketelusan dan pembaharuan tadbir urus demi menjaga kepentingan bola sepak negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














